Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) melalui IG Story baginda pada hari ini menyelar kembali Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang bertanggapan JDT campur tangan dalam urusan pasukan lain, dan disifatkan sebagai ‘lebih-lebih dari FAM’.
Manurut TMJ tindakan Asmirul tiba-tiba menyelar JDT ibarat ‘lepas tangan dan salahkan orang lain’ dan menipu penyokong.
Malah TMJ menjelaskan kenyataan beliau sebelum ini adalah sebagai Raja yang mementingkan rakyat.
“Apabila orang tegur demi kebaikan, awak seharusnya terima. Bersikap tanggungjawab menjaga kebajikan orang-orang yang bekerja untuk kita.
“Bukan mengular atau berbelit salahkan orang lain,” titah baginda.
TMJ melalui perkongsiannya turut berkata yang mengadu mengenai masalah pembayaran gaji sebenarnya adalah pemain Kedah sendiri dan menyifatkan mereka sebagai mangsa janji kosong politik yang mengurus bola sepak demi kepentingan peribadi.
Malah TMJ turut mendedahkan pemain Kedah sebelum ini hanya menerima bayaran gaji mereka [dipercayai tunggakan pada Disember] hanya sebelum perlawanan Piala Sumbangsih.
“Sebelum ini saya diam. Tetapi awak kaitan JDT dengan statement awak. Jadi saya terpaksa defend club saya yang tiada masuk campur dalam hal ini.
“Saya bersuara sebagai Royal Patron of PFAM. Saya bersuara demi pemain yang berhempas pulas setiap tahun untuk bola sepak negara dan penyokong,” jelas baginda lagi.
Melalui satu kenyataan yang dikongsikan lebih kurang tengah malam tadi, Asmirul berkongsi dan menjelaskan kedudukan kewangan Kedah FA yang turut menghadapi masalah daripada penaja mereka.
Bagaimanapun beliau turut mempersoalkan FAM dan MFL yang tidak membantu badan gabungan pada saat sukar ini.
Assalammualaikum..Sekali lagi saya di hujani dengan persoalan berhubung pembayaran gaji pemain melalui media massa…
Posted by Asmirul Anuar Aris on Tuesday, April 14, 2020
“Jika mereka sendiri gagal mencari kos bantuan untuk menjaga kebajikan negeri yang teruk di landa musibah apalah sangat keupayaan setiap negeri bersama penaja masing-masing,” ujar beliau.
Selain itu Asmirul turut meluahkan rasa tidak senang terhadap JDT setelah pendedahan oleh TMJ mengenai beberapa pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji masing-masing beberapa hari yang lalu.
“Saya juga mempersoalkan kewajaran JDT untuk campur tangan dalam pengurusan badan gabungan seolah melangkaui FAM?
“Untuk apa tujuan menggembar gembur di dalam media?,” persoal Asmirul dalam kenyataan tersebut.