TMJ Bangga Pemain Dan Staff JDT Sanggup Potong Gaji Untuk Sumbangan

D.Y.A.M Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim yang juga merupakan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meluahkan rasa bangga baginda terhadap barisan pemain dan kakitangan kelab tersebut yang menerima pemotongan gaji.

Semalam kesemua pemain, jurulatih, dan kakitangan JDT sepakat menerima pemotongan gaji sebanyak 33% untuk diserahkan ke tabung bencana negeri Johor tersebut dan untuk meringankan beban kelab.

Tatkala perlawanan saingan Liga Malaysia ditangguhkan, rata-rata pasukan bertanding berhadapan masalah kewangan berikutan kantung yang tidak diisi.

Selain daripada penajaan, kutipan hasil tiket perlawanan masih lagi merupakan salah satu pendapatan utama kelab bertanding di Liga Malaysia.

Selain daripada membantu kewangan kelab, pemotongan adalah atas dasar perikemanusiaan ekoran penularan wabak Covid-19 yang telah melanda semua lapisan masyarakat.

Sumbangan ke tabung bencana negeri Johor diharap dapat membantu mereka yang memerluka di saat sukar ini.

Sehingga malam tadi, 285 kes Covid-19 telah dilaporkan berlaku di Johor. Kluang dan Johor Bahru adalah antara daerah yang menerima kesan paling teruk dengan masing-masing 97 dan 97 kes.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan turut telah diperketatkan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor selepas jumlah kes dari dua lokaliti tersebut menyumbang kepada jumlah kes tertinggi di Kluang dan Johor setakat ini.

Daripada 37,674 ujian COVID-19 yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setakat ini, 2,470 adalah positif termasuk 388 yang telah sembuh dan 35 meninggal dunia.

Kongsi artikel ini