Tindakan Pengadil Di Portugal Layangkan Kad Putih Buat Ramai Tergamam

Satu detik aneh berlaku ketika pertandingan Piala Kebangsaan Portugal membabitkan perlawanan di antara skuad wanita Benfica yang menewaskan  Sporting Lisbon 5-0 baru-baru ini.

Pada minit akhir perlawanan babak pertama, pengadil perlawanan secara tiba-tiba menuju ke kawasan teknikal pemain dan melayangkan kad putih. Sudah tentu situasi tersebut membuatkan ramai penonton yang hadir tergamam.

Apa itu kad putih?

Layangan kad putih sememangnya aneh di dalam bola sepak. Ini kerana kebanyakkan kita hanya mengetahui layangan kad kuning sebagai amaran, dan kad merah untuk arahan keluar padang. Kedua-duanya diberikan kerana pemain melakukan kesalahan.

Walaupun tidak diperkenalkan secara rasmi di dalam buku peraturan bola sepak atau pun oleh FIFA, kad putih adalah inisiatif baharu yang mulai diperkenalkan di dalam bola sepak Portugal – bermula dengan pertandingan kategori wanita.

Tidak seperti kad kuning dan kad putih yang digunakan pengadil untuk menghukum pemain, kad putih pula mewakili pujian atas tindakan pemain yang menunjukkan sikap kesukanan atau fair-play ketika perlawanan.

Tampak lebih adil bukan?

Kejadian di Portugal

Ketika perlawanan di antara skuad wanita Benfica dan Sporting Lisbon, salah seorang pemain dilaporkan mengalami kecederaan.

Dan kecederaan tersebut membuatkan pasukan perubatan kedua-dua pasukan bekerjasama untuk merawat pemain ini dengan segera.

Pengadil perlawanan lantas melayangkan kad putih untuk kedua-dua pasukan kerana semangat kesukanan yang ditampilkan.

Pada ketika layangan kad putih dilayangkan, ia disambut dengan tepukan gemuruh sebagai tanda penghargaan daripada penyokong.

Layangan kad putih dianggap sebagai satu idea baru untuk menghargai etika di dalam sukan, khususnya di dalam bola sepak.

Banyan pembaharuan telah kita lihat di dalam sukan ini sejak 10 tahun yang lalu demi untuk memastikan integriti bola sepak terus terjaga.

Misalnya pada hari ini sudah ada video bantuan teknologi pengadil (VAR) untuk menentukan kesahihan sesuatu keputusan. Walaupun adakalah keputusan oleh VAR berakhir dengan kontroversi, ia tidak bermakna pihak berwajib tidak berusaha untuk memartabatkan sukan ini.

Di Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar pada November dan Disember lalu, masa kecederaan turut dilanjutkan daripada tempoh kebiasaan untuk mengelakkan pembuangan masa dan ketidakadilan berlaku.

Maka tidak mustahil layangan kad putih pula akan digunakan untuk kiraan mata fair-play pula selepas ini.

Kongsi artikel ini