Satu perkara yang pasti buat masa ini ialah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bakal mendapat Presiden baharu dalam masa terdekat.
Ia berikutan pengumuman Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam yang mengesahkan dirinya berundur sebagai Menteri Besar Kedah.
Keputusan oleh Mukhriz itu turut disusuli oleh perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, semalam perkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14.
Perkembangan terbaru ini bermakna pengurusan KFA pada hari ini turut terbubar. Menurut kebiasaan, Menteri Besar akan secara automatik dilantik selaku Presiden yang baharu.
Sentuhan Raja Muda?
Hari ini timbul khabar angin KFA akan mendapat sentuhan dari Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Ia berikutan laporan oleh sebuah akhbar tempatan, yang turut dikongsi oleh beberapa kelab penyokong Lang Merah di media sosial.
Ia bukan perkara baharu untuk pasukan bola sepak tempatan mendapat sentuhan Diraja. JDT dan Selangor FA misalnya, dipimpin oleh Tunku Ismail dan Tengku Amir Shah.
KEDAH FA BAKAL DAPAT SENTUHAN RAJA MUDABAKAL PEMILIK KEDAH FA, TENGKU SARAFUDIN BADLISHAH SULTAN SALLEHUDDIN BAKAL…
Posted by Group Info Bola Kedah on Sunday, 17 May 2020
JDT dianggap sebagai salah sebuah kelab paling berjaya di Asia Tenggara pada hari ini sejak diambil alih oleh Tunku Ismail pada 2013.
Selangor FA pula mulai merombak tampuk pengurusan ke arah yang lebih baik di bawah pimpinan Tengku Amir Shah.
Raja Muda bukan asing untuk bola sepak Kedah
Raja Muda, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin bukanlah wajah yang asing buat penyokong dan bola sepak di negeri Kedah.
Raja Muda juga dipercayai mempunai minat terhadap bola sepak, berdasarkan beberapa penampilan sebelum ini di perlawanan-perlawanan membabitkan skuad Lang Merah.
#KEDJDT DYTM Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Salahuddin bersama keluarga turut memberi sokongan moral buat skuad hijaukuning malam ini. Ayuh Kedah!
Posted by FA Kedah on Friday, 31 August 2018
Laporan akhbar tersebut turut berkata legenda bolasepak Kedah, Radhi Mat Din dikatakan bakal membantu Tengku Sarafudin dalam pengurusan KFA sekali gus bertindak selaku wakil Menteri Besar (MB) Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor dalam pasukan.
Menurut sumber, walaupun status KFA kebiasaannya akan melantik MB selaku Presiden Persatuan, namun Muhammad Sanusi akan memberi laluan kepada Tengku Sarafudin untuk memimpin badan induk bolasepak negeri Kedah.
Penyokong Kedah teruja
Jika benar khabar angin ini, maka penyokong bola sepak dan rakyat negeri Kedah khususnya mempunyai sebab untuk berasa teruja.
Perkara terpenting ialah untuk mengubah landskap bola sepak yang bersandarkan politik kepada pengurusan bolasepak yang lebih profesional.
Sebelum ini beberapa laporan akhbar melaporkan barisan pemain dan pegawai pasukan Kedah FA telah mengalami tunggakan gaji sejak Februari lalu.
Tunggakan tersebut dikatakan mencecah sehingga melebihi angka RM2 juta.
Penafian Kedah FA
Perkahabaran Raja Muda mengambil alih jawatan Presiden KFA bagaimanapun dinafikan oleh Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah, Timbalan Presiden, KFA melalui satu kenyataan media sebentar tadi.
Menurut beliau laporan tersebut adalah tidak berasas dan hanya untuk mecari sensasi.
“Selepas meneliti kandungan yang ditulis, pihak KFA menafikan kandungan artikel tersebut terutamanya mengaitkan nama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dalam perubahan pentadbiran KFA, seterusnya menafikan sumber dipetik dari KFA,” ujar Abdul Rahman dalam kenyataan tersebut.
“Penulis membuat rumusan dan andaian dalam artikel yang mengaitkan DYTM Raja Muda Kedah berdasarkan sumber yang tidak dinyatakan dan sewenang-wenangnya mencipta persepsi khabar angin dengan mudah bagi tujuan mencipta berita sensasi yang boleh menjurus kepada berita negatif kepada pihak yang dinyatakan.
KENYATAAN MEDIAPERSATUAN BOLA SEPAK KEDAH DARUL AMAN========================================PENAFIAN ARTIKEL HARIAN…
Posted by FA Kedah on Sunday, 17 May 2020
“KFA menafikan sumber tersebut dari pengurusan KFA dan menyarankan penulis lebih berhati-hati dalam membuat penulisan, pastikan setiap kandungan penulisan berdasarkan sumber berfakta, menyatakan nama sumber agar adanya kebertanggungjawaban dalam setiap kenyataan dikeluarkan.
Selain daripada itu beliau turut mengesahkan sesiapa sahaja boleh dilantik menjadi Presiden KFA asalkan mendapat sokongan 36 Badan Gabungan KFA.
Abdul Rahman juga mengesahkan perlembagaan dan statut KFA, tidak mensyaratkan Menteri Besar Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman secara automatik dilantik menjadi Presiden KFA.
Sehingga artikel ini ditulis belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak Istana.