Tidak Ramai Sedar Ejaan Nama Casemiro Pada Jersi Adalah Salah, Ini Penjelasan Pemain Itu Sendiri

Pemain tengah Manchester United, Casemiro merupakan pemain penting skuad kendalian Erik ten Hag. Malah bekas pemain Real Madrid itu dilihat sebagai jawapan kepada kesukaran United sejak beberapa tahun lalu di bahagian tengah.

Baru-baru ini Casemiro berkongsi satu rahsia mengenai ejaan namanya pada jersi pasukan. Menurut pemain berusia 30 tahun itu, selama ini kelab menulis nama beliau dengan ejaan yang salah di belakang jersi.

Bagaimanapun Casemiro seperti sudah lali dengan pekara itu malah mempunyai sebab tersendiri mengapa ejaan salah itu untuk dikekalkan.

Segala-galanya sebenarnya bermula ketika pemain itu masih bersama kelab pertamanya, Sao Paulo di Brazil.

“Saya masih ingat saya beraksi dalam satu perlawanan untuk Sao Paulo dan kelab mengeja nama saya dengan salah. Mereka menulis [ejaan nama] dengan huruf “E”.

“Saya beraksi dengan baik dalam perlawanan tersebut dan saya juga seorang yang percayakan perkara yang agak karut.

“Saya berkata kepada mereka: “Biarkan sahaja ia begitu kerana semuanya berjalan dengan sangat baik!”

“Sejak daripada itu ejaan [Casemiro] kekal. Nama penuh saya adalah Carlos Henrique Casimiro. Ia adalah kesalahan yang berpunca daripada satu perlawanan, dan saya berpendapat: “Tak perlu diubah, biarkan saja ia sebegitu.”

Sejak daripada itu Casemiro tidak memandang ke belakang dan telah memenangi pelbagai kejuaraan ketika bersama Real Madrid sebelum berhijrah ke Manchester United pada Jun lalu.

Skuad kendalian Erik ten Hag hanya tewas dua perlawanan setiap kali Casemiro beraksi, dan kini bersaing di kelompok atas Liga Perdana Inggeris.

Berbeza dengan situasi pada musim-musim sebelumnya, Manchester United jelas bergelut di posisi Casemiro menyebabkan mereka hanya mampu menamatkan musim di pertengahan liga.

Pasukan itu kini turut melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala EFL.

Casemiro turut membuktikan kemampuannya lebih daripada seorang pemain tengah bertahan, apabila sehingga kini berjaya menghasilkan empat jaringan, termasuk dua gol yang dihasilkan menentang Reading di Piala FA.

Walaupun selepas beliau kembali daripada pergantungan 3 perlawanan selepas kesalahan mencekik pemain lawan ketika menentang Crystal Palace baru-baru ini, jangan harap ejaan nama Casemiro akan diubah.

Kongsi artikel ini