Tiada Lagi ‘Athletic Bilbao Malaysia’, PJ City Bakal Tutup Kedai Mulai Musim 2023?

Digelar ‘Athletic Bilbao Malaysia’ kerana falsafah bola sepak yang memberi sepenuh kepercayaan kepada pemain tempatan, Petaling Jaya City FC (PJ City) dilaporkan sebagai salah sebuah daripada dua pasuakan Liga Super Malaysia (MSL)yang akan menarik diri daripada saingan liga tempatan mulai musim 2023.

Penstrukturan Liga Malaysia oleh Malaysian Football League (MFL) pada Julai lalu turut menimbulkan khabar angin dua kelab yang bersaing di Liga Malaysia pada musim ini turut akan menarik diri untuk saingan pada musim hadapan.

Penstrukturan tersebut membenarkan setiap 18 pasukan yang bertanding di saingan MSL pada musim hadapan dibenarkan untuk mengambil sehingga 9 pemain import.

Selain itu setiap pasukan turut wajib mewujudkan skuad Liga Simpanan, selain skuad B-21 dan pasukan remaja (Bawah-17). Perubahan ini turut bermakna kos yang perlu ditanggung oleh kelab akan meningkat mulai musim hadapan.

PJ City salah satu pasukan tarik diri?

Kesukaran mendapatkan dana dan kos yang meningkat menyebabkan khabar angin mengatakan dua pasukan, masing-masing 1 pasukan dari Liga Premier dan 1 dari Liga Super akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim hadapan disebabkan kedudukan kewangan yang tidak kukuh untuk menerima perubahan tersebut.

Mungkin pada ketika pengumuman itu dilakukan ramai yang tertanya-tanya kelab manakah yang dimaksudkan itu.

Ciapan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam bagaimanapun mengaitkan PJ City sebagai salah sebuah kelab yang dimaksudkan itu.

“Steady PJ City. Walaupun ada gosin nak tutup tahun depan tapi berjaya menang dengan menewaskan Kedah 1-0 di tempat lawan sekali gus kekalkan rekod empat perlawanan tanpa kalah,” tulis Zulhemi secara ringkas.

PJ City mungkin tidak terkesan dengan syarat pengambilan pemain import yang dinaikkan kepada 9 pemain pada musim hadapan, kerana boleh sahaja menyandarkan cabaran kepada bakat tempatan.

Namun demikian syarat lain seperti penambahan jumlah pemain dan kos perlawanan membabitkan sehingga 4 pasukan yang perlu ditanggung, dipercayai menjadi masalah utama kelab seperti PJ City untuk meneruskan operasi selepas Liga Malaysia distruktur semula.

Pada hari ini PJ City memiliki beberapa pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan seperti Darren Lok, Kalamullah Al-Hafiz, M. Kogileswaran dan V. Ruventhiran.

Apa-apa pun sudah tentu ramai berharap kelab ini mampu mencari penyelesaian terutama daripada segi dana untuk meneruskan cabaran pada musim hadapan.

Kongsi artikel ini