Thiery Henry Gembira Arsenal Menang Dan Beri Pandangan Seikhlas Hati Mengenai Man Utd

Bekas penyerang dan legenda Arsenal, Thiery Henry meluahkan rasa gembira menyaksikan kemenangan 3-2 Arsenal ke atas Manhester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hujung minggu lalu.

Pada ketika Henry masih bersama Arsenal, kedua-dua pasukan dianggap sebagai dua pasukan terbesar di EPL dan juga seteru untuk kejuaraan hampir setiap musim.

Namun sejak lebih sedekad lalu, ‘aura’ Arsenal dan Manchester United seolah-olah hilang dengan kebangkitan Manchester City, Liverpool dan Arsenal mulai menguasai perebutan kejuaraaan.

Sepanjang tempoh itu, Arsenal dan Manchester United pula hanya mampu menamatkan musim masing-masing di pertengahan liga, tatkala kelayakan beraksi di UEFA Champions League dianggap seperti bonus.

Musim ini keadaan itu berbeza apabila Arsenal kendalian Mikel Arteta kini mendominasi kedudukan teratas liga, tatkala Manchester United juga seolah-olah telah menemui kembali mojo mereka yang telah lama hilang di bawah kendalian Erik ten Hag.

Disebabkan prestasi konsisten ditampilkan kedua-dua pasukan, pertemuan pada hujung minggu lalu kembali menjadi tumpuan ramai pemngikut bola sepak Inggeris.

Dan Henry dianggap telah melakukan penilaian paling jujur mengenai kedua-dua pasukan melalui komennya selepas perlawanan.

“Saya amat gembira Arsenal menang dan mereka layak untuk menang terutama dengan apa yang mereka tampilkan pada babak kedua perlawanan, tetapi lihatlah bagaimana Man United kini adalah pasukan yang berbeza di bawah kendalian Erik ten Hag,” ujar Henry kagum.

“Saya mahu jujur, saya adalah peminat Ten Hag dan saya amat sukakannya. Malah beliau adalah jurulatih yang saya cadangkan kepada Laporta (Presiden Barcelona FC) selepas [Ronald] Koeman dipecat. Dia adalah seorang genius.

“Hari ini kita menyaksikan sebuah pasukan yang telah melalui pembangunan selama tiga tahun menentang sebuah pasukan yang baru dibangunkan semula selama 6 bulan.

“Juga sebuah pasukan yang telah melalui rehat selama seminggu [sebelum perlawanan] menentang pasukan yang berehat selama dua hari, tetapi Man United tetap mampu bersaing dengan sengit [menentang Arsenal] dan ia mengejutkan.

“Pada mulanya saya menjangkakan Arsenal akan mendominasi dan menekan Man United dari mula dan pemain Man United pula akan bertahan, tetapi saya silap.

“Sebaliknya United sebenarnya menguasai bola dengan lebih baik pada babak pertama perlawanan.

“Anda harus memberikan tempoh setahun lagi untuk Ten Hag dan terus memberikan sokongan di jendela perpindahan pemain, maka Man United akan memiliki pasukan baharu yang sedia mencabar.

“Bukan tidak menghormati Sir Alex , tetapi jika Ten Hag berjaya, maka Man United akan menampilkan corak permainan yang jauh lebih menarik berbanding ketika era Sir Alex Ferguson,” jelas Henry panjang lebar.

Dalam perlawanan pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia), Man United terlebih dahulu berada di hadapan melalui jaringan Marcus Rashford pada minit ke-17 perlawanan.

Arsenal bagaimanapun berjaya kembali ke dalam perlawanan melalui jaringan Eddie Nketiah selang tujuh minit selepas itu sebelum mendahului perlawanan melalui gol Bukayo Saka pada babak kedua.

Ketinggalan 2-1 kepada pasukan tuan rumah, Man United tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menjadi 2-2 hasil tandukan Lisandro Martinez.

Man United bagaimanapun mengakhiri perlawanan dengan kekecewaan apabila Nketiah sekali lagi tampil menjadi duri di dalam daging menjaringkan gol di minit akhir perlawanan untuk keputusan penuh 3-2 memihak kepada Arsenal.

Sehingga kini Man United kekal menjadi satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan Arsenal di dalam aksi liga pada musim ini apabila skuad Ten Hag menang 3-1 dalam pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan di Old Trafford sebelum ini.

Kongsi artikel ini