‘The Speed Demon Rivalry’ – Perseteruan Watson Nyambek Dan Azmi Ibrahim Yang Pernah Gegar Dunia Olahraga Malaysia

Dunia sukan tidak pernah lari daripada perseteruan di kalangan atlet tanpa mengira tahap pertandingan dan sukan yang dimainkan.

Di dalam dunia badminton, kita pernah menyaksikan kehebatan dan perseteruan Lin Dan dan Lee Chong Wei. Bola sepak pula menampilkan perseteruan di antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. Dunia tenis pula menampilkan Roger Federer dan Novak Djokovic.

Semua perseteruan di atas ini adalah perseteruan melibatkan atlet secara individu di dalam sukan masing-masing di pentas dunia.  Bagaimana pula persaingan di kalangan atlet tempatan di Malaysia.

Harus diakui, perkara itu amat jarang sekali berlaku. Tetapi pada era 1990 an, perseteruan di antara Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim untuk bergelar ‘Raja Pecut’ negara berjaya mencuri tumpuan rakyat Malaysia.

The speed demon rivalry

Sebuah artikel daripada News Strait Times pada 2019 ketika mengimbau kembali kehebatan Watson dan Azmi di dalam acara pecut 100 meter pernah menggelarkan perseteruan di antara kedua-dua pelari sebagai ‘The speed demon rivalry’.

Panggilan terhadap perseteruan itu boleh difahami. Kedua-duanya bermusuhan ketika memasuki trek perlumbaan dan berusaha untuk mengatasi satu sama lain dengan apa cara sekali pun.

Tetapi di luar balapan, kedua-duanya adalah sahabat baik yang sentiasa menjadikan lawan masing-masing sebagai pendotong utama untuk menjadi pelari yang lebih baik.

Olahraga bukanlah cabang sukan yang popular seperti bola sepak atau pun badminton. Tetapi pada era itu perseteruan Watson-Azmi berjaya mencetuskan fenomena biasa di seluruh pelusuk negara.

Di kedai kopi, kedua-duanya menjadi topik bualan utama mereka yang dewasa. Di sekolah, mereka dianggap sebagai ikon, dan di taman permainan, kanak-kanak mengimpikan menjadi seperti salah seorang kedua-dua pelari.

Pendek kata asalkan ada temasya sukan di peringkat kebangsaan atau pun antarabangsa, nama kedua-dua pelari ini akan mulai menjadi sebutan dan rakyat Malaysia.

The Flying Dayak vs Azmi Ibrahim

Bumi Kenyalang pernah melahirkan beberapa atler terkemuka negara. Salah seorang daripada mereka adalah Watson Nyambek.

Nama Watson mulai menjadi sebutan selepas menyerlah di Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Singapura pada 1994.

Di kejohanan tersebut, Watson memenangi pingat emas acara 100 meter, dan perak untuk acara 200 meter dan 4X100 meter.

Watson tidak keseorangan mewarnai dunia pecut negara pada ketika itu apabila nama Azmi Ibrahim dari Pahang turut muncul sebagai pencabar utama.

Malah kedua-dua sebenarya telah mengenali antara satu sama lain sejak 1993; ketika bersaing dalam acara 100 meter Akhir, Sukan MSSM. Ketika itu, Azmi menjadi juara dengan catatan masa 10.70 saat; tatkala Watson hanya terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Di trek pada masa itu kedua-duanya adalah musuh tradisi tetapi di dalam pasukan Malaysia, kedua-duanya adalah sahabat baik kerana merekalah juga yang menggunguli rangkaian relay bagi Malaysia.

Kuantan menjadi saksi

Setelah beberapa tahun menanti, akhirnya peminat acara pecut negara berpeluang menyaksikan kedua-dua pelari berentap.

Tahun 1996 tercatat dianggap sebagai detik bersejarah di dalam dunia sukan trek dan balapan Malaysia apabila 2 jagoan “terpantas” di Malaysia ini seperti bertempur di satu gelanggang yang sama iaitu di Kuantan, Pahang.

Ianya adalah pertemuan antara Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim – perseteruan yang menjadi perdebatan di seluruh negara siapakah yang lebih layak bergelar ‘Raja Pecut Malaysia’.

Malah ada yang menyamakan perlumbaan di antara kedua-dua pelari pada ketika itu ibarat perlumbaan “Carl Lewis vs Ben Johnson”. Perseteruan di antara kedua-duanya menyebabkan suasana sebelum perlumbaan menjadi tegang.

Di kala pertarungan itu berlangsung, setiap lensa kamera hanya tertumpu kepada kedua-dua pelari ini. Dan apabila perlumbaan bermula, ternyata Watson Nyambek berjaya menidakkan kepantasan Azmi Ibrahim.

Malah Watson juga telah mencipta rekod baru kebangsaan iaitu 10.33 saat- memecahkan rekod kebangsaan berusia 29 tahun milik Datuk Dr. M. Jegathesan. Sekaligus pada masa itu, Watson Nyambek digelar peminat sukan olahraga sebagai “Carl Lewis” versi Malaysia.

Rekod terbaik

Selepas pertemuan itu, kedua-dua atlet terus berlari dalam beberapa acara antarabangsa yang lain. Antara yang paling diingati adalah apabila Watson berjaya merekodkan catatan 10.30 saat sebagai catatan peribadi terbaik di Kejohanan Pra Sukan Komanwel di Bukit Jalil.

Beliau turut pernah beraksi di acara sama di Atalanta 1996 dan Sukan Olimpik Sydey 2000.

Azmi Ibrahim pula merekodkan catatan masa peribadi terbaik 10.38 saat di ATF Indonesia pada 1995. Beliau juga berjaya memenangi beberapa pingat di Sukan SEA di dalam acara 200 meter.

Pada hari ini kedua-dua bekas atlet pecut ini dianggap legenda dan nama mereka akan terus dikenang zaman berzaman.

Kongsi artikel ini