Tevez Kucup Maradona Untuk Nasib Sebelum Julang Kejuaraan Primera Division

Carlos Tevez mencium Diego Maradona dengan penuh berahi untuk mendapatkan nasib baik, sebelum memastikan Boca Juniors menjuarai Primera Division Argentina pada Sabtu.

Tevez malah turut tampil sebagai penjaring pada minit ke-72 perlawanan untuk Boca menang 1-0 ke atas Gimnasia y Esgrima – kelab yang dibimbing oleh Maradona.

Boca sah bergelar juara selepas River Plate sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan.

Tevez mengucup Maradona di bibir sebelum bermulanya perlawanan dan menjelaskan tindakannya itu adalah untuk mendapat nasib baik.

Bekas penyerang Manchester City itu juga turut memuji Naib Presiden Boca, Juan Roman Riquelme dalam temubual selepas perlawanan.

“Roman adalah individu yang amat penting, ia amat jelas sejak kali pertama kami berjumpa. Beliau membantu saya untuk menemui diri sendiri. Ini [kejuaraan] adalah hasilnya,” kata Tevez.

Mengenai kucupan beliau terhadap Maradona, ini kata Tevez:

“Saya tahu saya harus mengucup Diego [Maradona]. Ia akan membawa tuah..adakalanya anda perlu mencari tuah itu.”

Tevez turut berkongsi bagaimana karier beliau di Argentina kembali dihidupkan sejak pulang beraksi dari China sebelum ini.

“Saya kembali dahagakan kejayaan. Saya tahu saya perlu kembali ke sini, ke tempat asal usul. Saya perlu melepaskan banyak perkara dan kembali melawan seperti seorang anak kecil ketika saya masih kanak-kanak,” katanya.

“Saya bergelut selama dua tiga tahun melawan diri sendiri, melawan banyak perkara. Saya sentiasa berusaha keluar daripada perkara sebegitu. Ia amay sukar. Saya perlu kembali mencari diri saya.

“Ia seperti saya memberitahu anda saya perlu kembali dahagakan kejayaan Saya menemui diri pada masa yang tepat.”

Tevez menjaringkan 7 gol dari 17 penampilan pada musim ini dan kontrak bersama Boca akan tamat pada Jun akan datang.

Bekas penyerang antarabangsa Argentina ini mulai beraksi untuk skuad senior Boca pada usia 16 tahun dan selepas 20 tahun, ia mungkin masa paling sesuai untuk mengakhirinya.

 

Kongsi artikel ini