Dua lagi kes baharu, dari dua kelab berbeza disahkan positif wabak K0V1D dalam ujian saringan kedua yang dilakukan oleh pihak Premier League.
Saringan pusingan pertama telah dilakukan pada Selasa, Khamis dan Jumaat lepas membabitkan 996 pemain dan kakitangan kelab.
Pemain dan kakitangan kelab yang diuji positif kini akan diasingkan untuk tempoh selama tujuh hari.
Jumlah saringan untuk setiap kelab kali ini dipertingkatkan daripada 40 kepada 50 ujian.
Pada 19 Mei Premier League mengumumkan enam individu diuji positif daripada tiga kelab. Antara yang didedahkan oleh kelab masing-masing ialah pemain Watford, Adrian Mariappa dan juga pembantu pengurus Burnley, Ian Woan.
Setiap pasukan dibenarkan menjalani latihan tanpa sentuhan pada Selasa lalu.
Pihak Premier League telah telah menggantung semua perlawanan sejak 13 Mac lalu akibat penularan wabak tersebut, dengan baki 92 perlawanan untuk diadakan.
Richard Masters yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Premier League berkata pihaknya yakin saingan boleh dimulakan kembali pada Jun.
Namun ketika ditanya mengenai tarikh ia akan dimulakan, Masters berkata tarikh tersebut harus ‘fleksibel’, dan akan menikut jejak langkah Bundesliga untuk menyambung kembali aksi.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Sepanyol berkata La Liga sudah boleh meneruskan saingan di stadium tertutup pada 8 Jun.