TERKINI: Kelibat Jaami Qureshi Tiba Di Wisma FAM

Pemain kacukan negara, Jaami Qureshi dilaporkan berada di Wisma FAM pada hari ini. Sebelum ini pemain itu turut dilihat menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan senior negara di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bekas pemain tengah Brighton & Hove Albion ini difahamkan berada di Malaysia untuk melengkapkan proses dokumentasi pasportnya.

Perkembangan terbaru ini membolehkan pemain muda berusia 18 tahun itu untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

Perkongsian sebuah di IG Story pemain muda itu bersama Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh menguatkan andaian Jaami bakal bergelar pemain Harimau Malaya selepas ini.

Laporan oleh portal bola sepak tempatan, Makan Bola sebelum ini berkata Jaami dan ayahnya Perviz Qureshi dijangka akan berjumpa dengan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini (Khamis) untuk melalui satu sesi perbincangan.

Pemain itu sebelum ini dikatakan akan mewakili Iraq di pentas antarabangsa, namun sehingga kini perkara itu belum lagi menjadi kenyataan.

Laporan yang sama oleh Makan Bola menyatakan Jaami bagaimana pun dijangka akan beraksi di England selepas melengkapkan kerakyatan Malaysia, walaupun terdapat desas desus menyatakan beliau akan menyertai JDT.

Kongsi artikel ini