TERKINI: Kelayakan Piala AFC B-17 Yang Sedang Berlangsung Di Indonesia Diadakan Tanpa Penonton

Pusingan kelayakan Piala AFC Bawah-17 yang sedang berlangsung di Bogor, Indonesia akan diteruskan tetapi tanpa sebarang kehadiran penonton di dalam stadium.

Perkara itu diumumkan oleh Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia sebentar tadi, dan ia adalah antara langkah keselamatan oleh pihak penganjur selepas ‘Tragedi Kanjuruhan’ yang berlaku di perlawanan Liga 1 Indonesia pada Sabtu lalu.

“Demi keamanan dan kenyamanan bersama serta menghargai dan menghormati saudara/i kita yang sedang berduka akibat kejadian yang menimpa di Stadion Kanjuruhan, Malang. Dengan ini, Kualifikasi Piala Asia U17 2023 resmi dilaksanakan tanpa penonton,” ujar kenyataan tersebut ringkas.

PSSI juga akan memulangkan wang tiket perlawanan kepada penyokong yang sudah mendapatkan tiket perlawanan masing-masing sebelum ini.

Tragedi yang berlaku di Derbi Jawa Timur pada Sabtu lalu menyaksikan rusuhan berlaku di kalangan penyokong Arema FC sehingga menyebabkan kematian kini dipercayai mencecah lebih 180 mangsa.

Pada masa yang sama kelayakan Piala AFC B-17 sedang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor yang terletak kira-kira 882 KM daripada tempat tragedi tersebut berlaku di Malang.

Skuad muda negara kendalian Osmera Omaro adalah antara pasukan yang mengambil bahagian di dalam saingan Kumpulan B, yang turut membabitkan pasukan tuan rumah Indonesia, Guam, UAE dan Palestine.

Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 dengan kemenangan selepas berjaya menundukkan Palestin 4-0 pada Sabtu lalu.

Selepas mengharungi cabaran Palestin, lawan seterusnya yang perlu dihadapi oleh pemain muda Malaysia ialah Guam pada 5 Oktober (Rabu).

Dua hari kemudian mereka akan berhadapan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan aksi terakhir adalah menentang tuan rumah Indonesia pada Ahad nanti.

10 pasukan yang menamatkan saingan selaku juara kumpulan bersama lima naib juara kumpulan terbaik akan layak untuk beraksi di peringkat akhir Piala Asia B-17 2023.

Malaysia tidak pernah melayakkan diri ke pusingan akhir pertandingan ini dan kemenangan pertama ke atas Palestine dianggap sebagai tonik terbaik untuk pasukan negara melangkah ke pusingan seterusnya.

Tragedi yang berlaku di Malang, Indonesia pada Sabtu lalu dianggap sebagai salah satu tragedi terburuk pernah berlaku di dalam dunia bola sepak.

Pelbagai laporan tidak rasmi dikongsi mengenai jumlah kematian, sehingga ada yang melaporkan lebih daripada 180 mangsa kini sudah disahkan meninggal dunia.

Kongsi artikel ini