Terkini : Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) Umum Kaki Jersi Penaja Pakaian 2021

Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pakaian sukan tempatan Kaki Jersi Sdn Bhd (KJ) sebagai penaja rasmi pakaian sukan bagi musim 2021 ini.

Pengumuman ini telah dikongsikan di laman Twitter rasmi kelab pada pagi tadi dengan kedua belah pihak mengadakan majlis yang serba ringkas di ibupejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan , Seremban sebagai tanda rasmi dengan kerjasama tersebut.

Bagaimanapun , sehingga artikel ini ditulis , masih tiada lagi sebarang maklumat berkaitan jersi rekaan baru yang bakal disarungkan oleh para pemain-pemain bagi menghadapi Liga-M untuk musim baru 2021 ini. Perkara ini mungkin akan diumumkan pada sedikit masa lagi.

Kerjasama kelab Bola Sepak Negeri Sembilan dan jenama sukan tempatan ini telah mendapat pujian khususnya daripada penyokong bolasepak tempatan.

Ini merupakan satu permulaan yang bagus kepada jenama lokal bersaing dan mendapat tempat di hati penyokong bolasepak dalam mengutamakan pembelian produk buatan Malaysia berbanding jenama pakaian sukan antarabangsa yang berada di pasaran tempatan.

Pada awal tahun 2020 yang lalu syarikat Kaki Jersi berjaya menjadi di antara tujuh rakan penaja rasmi bagi memperkasakan musim kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) iaitu MPFL 2020 pada 14 dan 15 Mac 2020.

Profil syarikat Kaki Jersi meningkat naik setelah menjadi Rakan Pakaian E-dagang rasmi bersama dua lagi syarikat yang menjadi penaja baru iaitu syarikat penerbangan Firefly sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Cuckoo sebagai Rakan Penapis Air & Udara Rasmi.

Jenama jersi buatan Malaysia yang terkenal itu melangkah lebih jauh ke luar negara apabila kelab bolasepak Siem Reap United FC (SRU FC) Kemboja telah mengikat kontrak lima tahun dengan Kaki Jersi pada hujung tahun 2019.

Dalam perjanjian berkenaan , Kaki Jersi komited untuk bekerjasama dengan SRU FC dalam pembangunan pemain muda kelab yang mempunyai infrastuktur sukan seperti padang yang terbaik di Kemboja.

Kaki Jersi turut menyediakan kelengkapan untuk pasukan senior Siem Reap United FC dan pasukan akademinya termasuklah jersi, bib, seluar, stokin dan sebagainya serta menjadi penaja untuk kejohanan yang dianjurkan oleh Bolabros di SRU Stadium.

 

 

 

Kongsi artikel ini