“Tanpa Mereka Siapalah Saya” – MOTM Faisal Halim Sebak Di Pujuk Oleh Nizaruddin Yusof Dan Paklong

Faisal Halim sememangnya layak dinobatkan Man of The Match berikutan prestasi yang memukau dan dapat menghasilkan gol sulungnya di peringkat antarabangsa dalam perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2023 menewaskan Turkmenistan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari.

Pemain sayap lincah Terengganu ini ternyata sebak apabila ditanya mengenai perasaannya setelah dinobatkan sebagai Man of The Match serta dapat menjaringkan gol untuk Harimau Malaya.

Tidak mampu menahan emosi , Faisal Halim mengalirkan air mata sambil dipujuk oleh bekas pemain kebangsaan Nizaruddin Yusof dan Hafizal Hamid sebagai pengulas perlawanan berkenaan.

“Jujur saya cakap , saya sebak bang. Ini first gol dalam international peringkat tertinggi. Ini untuk semua anda dan rakan-rakan pasukan saya. Tanpa mereka siapalah saya.”

Beliau juga mendedikasikan penghargaan itu kepada isteri , anak serta keluarganya yang turut hadir ke perlawanan itu bagi memberikan sokongan kepada diri dan pasukannya.

Beraksi di bahagian sayap kiri Faisal sentiasa menjadi igauan mengucar-kacirkan pertahanan lawan meskipun mempunyai tubuh fizikal yang kecil , dia berupaya melepaskan diri dengan jaringan gol kedua buat skuad Harimau Malaya bagi mendahului Turkmenistan 2-0 dalam masa 15 minit di separuh masa pertama.

Mendapat panggilan skuad kebangsaan dan ketika menjalani latihan pertama di bawah pengendalian jurulatih dari Korea Selatan , dia yakin atas kemampuan jurulatih itu membawa skuad kebangsaan ke satu dimensi dengan corak dan taktikal yang lebih baharu sebelum ini.

Baru berusia 24 tahun , pasti Kim Pan-gon akan terus menggilap kemampuan beliau untuk terus menunjukkan aksi yang lebih jitu dan berkualiti di dalam perlawanan seterusnya menentang Bahrain dan Bangladesh bagi mencapai matlamat layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China tahun hadapan.

Kongsi artikel ini