Expand To Show Full Article
Tan Sri Elyas Omar: Datuk Bandar Yang Disuruh Balik Rumah Oleh Pemain Ketika Final Piala Malaysia - Grandstand Kita

Tan Sri Elyas Omar: Datuk Bandar Yang Disuruh Balik Rumah Oleh Pemain Ketika Final Piala Malaysia

Terdapat pendapat di kalangan komuniti bola sepak di negara ini yang berkata, ‘politik dan bola sepak berpisah tiada.’

Begitu juga dengan pendapat dan persepsi yang melabel politik sekadar menghancurkan bola sepak. Hakikatnya bola sepak di negara ini banyak bergantung dengan ‘orang politik’.

Mereka yang dilabel ‘orang politik’ tidak bererti mereka perlu menjadi Menteri Besar atau pun bertanding di pilihan raya. Lantikan politik juga terdiri daripada mereka yang menjawat sesuatu jawatan atas lantikan politik.

Dan antara orang politik yang berstatus ‘tokoh’ atas usaha mereka membangunkan bola sepak negara adalah seperti Datuk Ahmad Basri Akil (Kedah), Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Perak), Datuk Taha Ariffin (Sarawak), dan Datuk Suleiman Mohd Noor (Johor).

Tidak ketinggalan ialah Tan Sri Elyas Omar atas jasa beliau membangunkan sukan badminton dan juga bola sepak.

Anak jati Pulau Mutiara

Tan Sri Elyas Omar dilahirkan pada 16 November 1936 di Pulau Pinang. Beliau adalah anak jati Pulau Pinang.

Mendapat pendidikan awal di Penang Free School, Tan Sri Elyas Omar kemudiannya memperolehi B.A Hons daripada Universiti Malaya di Singapura (hari ini dikenali sebagai Universiti Nasional Singapura).

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, memperolehi Ijazah Sarjana di dalam bidang Pentadbiran Awam di Universiti Pittsburg, dan kemudiannya Phd di dalam bidang yang sama dari Universiti Havard.

Sumbangan sebagai penjawat awam

Tan Sri Elyas Omar memegang Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-3, memegang jawatan tersebut daripada 1982 sehingga 1992.

Antara sumbangan Allahyarham kepada Kuala Lumpur ketika menjawat jawatan tersebut ialah membantu menyediakan perumahan kepada penduduk setinggan, mengindahkan taman awam dengan mewujudkan Taman Orkid, Taman Burung, Taman Rama-Rama dan Dataran Merdeka sebagai mercu tanda Kuala Lumpur di era tersebut.

Sumbangan Tan Sri Elyas Omar kepada pembangunan negara menyebabkan Allahyarham diberikan anugerah Tokoh Wilayah Persekutuan 2007 oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang pada ketika itu diterajui bekas menterinya Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Sumbangan di dalam bidang sukan

Allahyarham juga mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang sukan.

Antara sumbangan terbesar Allahyarham ialah ketika menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Di bawah pimpinan Allahyarham, skuad badminton negara menjadi juara Piala Thomas 1992.

Ia adalah pencapaian yang gagal diulangi oleh sukan badminton negara sehingga ke hari ini.

Selain daripada sukan badminton, Tan Sri Elyas Omar turut pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan di antara 2005 sehingga 2008.

Antara perubahan yang dilakukan ketika menjawat jawatan tersebut ialah mengarahkan persatuan-persatuan sukan supaya berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan bukan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Tan Sri Elyas Omar dan bola sepak

Bagi penyokong bola sepak skuad warga kota, Tan Sri Elyas Omar adalah seorang legenda agung.

Pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di antara 1985 sehingga 1993, era Elyas Omar dianggap sebagai zaman emas skuad warga kota di arena bola sepak tempatan.

The Iron behind Kuala Lumpur football team in the 80's n 90's our late Tan Sri Elyas Omar and football genius Mr…

Posted by T Gopinath Naidu on Thursday, 13 February 2020

Di bawah bimbingan Tan Sri Elyas Omar, Kuala Lumpur FA menjuarai kejuaraan Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan juga 1989.

Zaman emas Kuala Lumpur FA

Skuad warga kota di era pengurusan Tan Sri Elyas Omar bermula pada pertengahan 1985 dianggap sebagai salah sebuah pasukan gergasi di dalam negara pada ketika itu.

Antara pemain-pemain yang membarisi skuad warga kota pada ketika itu ialah Serbegeth Singh, Razif Ismail, Mat Zan Mat Aris, Lim Teong Kim, Subadron Aziz, Yap Wai Loon, Hashim Marman dan penjaga gol skuad kebangsaan, Abdul Rasyid Hassan.

Manakala pemain import yang masih dikenang sehingga ke hari ini ialah seperti Fandi Ahmad, Malek Awab dan K.Kannan daripada Singapura.

Pernah dianggap pembawa nasib malang

Selain daripada kejuaraan Piala Malaysia, Kuala Lumpur turut pernah menjuarai Divisyen 1 pertandingan bola sepak negara pada 1986 dan 1988.

Skuad warga kota tersebut turut pernah bergelar juara Piala FA pada 1993, kejuaraan terakhir Kuala Lumpur ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Elyas Omar.

Menariknya, skuad warga kota memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia buat pertama kali pada 1985 ketika Tan Sri Elyas Omar mengambil alih pucuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Bagaimanapun, Kuala Lumpur berputih mata apabila tewas 2-0 kepada Johor dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Merdeka tersebut.

Musim 1987, Kuala Lumpur sekali lagi tampil dalam perlawanan akhir pertandingan bola sepak paling berprestij di dalam negara.

Anehnya, majoriti pemain Kuala Lumpur tidak mahu Presiden mereka itu hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut. Untuk itu, dua pemain Kuala Lumpur, Fandi Ahmad dan Saidin Osman menemui Tan Sri Elyas Omar untuk menyampaikan hajat tersebut.

“Saidin memberitahu saya di dalam longhat utara bahawa saya sepatutnya menonton perlawanan tersebut melalui siaran secara langsung di hadapan kaca televisyen. Dan jika kemenangan tampak seperti berpihak kepada KL, saya harus bergegas ke stadium.”

#FlashbackFridaySejarah tercipta pada 17 Oktober 1987 apabila Kuala Lumpur muncul juara Piala Malaysia buat kali…

Posted by Kuala Lumpur FA on Friday, 20 March 2020

“Fandi juga berkata saya harus menonton perlawanan daripada kaca televisyen, dan hanya ke stadium pada 15 minit terakhir perlawanan untuk sempat melihat pemain menerima piala daripada DYAM Agong.

“Saya berpendapat pemain-pemain cuba memberitahu saya dengan kaedah yang sopan bahawa saya adalah pembawa nasib malang. Saya berharap saya tidak sedemikian. Tetapi tanggapan sedemikan agak melucukan pada pandangan saya,” ujar Tan Sri Elyas Omar kepada akhbar New Strait Times satu ketika dahulu ketika mengenang pengalaman tersebut.

Imbasan permulaan zaman gemilang bolasepak Kuala Lumpur

Posted by Kuala Lumpur FA on Tuesday, 29 May 2018

Kisah sebenarnya kejadian tersebut adalah kerana pemain Kuala Lumpur rasa tertekan dengan kehadiran presiden mereka di dalam stadium.
“Kami mahu memenangi kejuaraan Piala Malaysia untuk Datuk. Jika beliau berada di stadium, ia akan membuatkan kami kaku dan tertekan ketika perlawanan,” ujar Fandi lagi.

Kuala Lumpur tewas di perlawanan akhir Piala Malaysia 1985 kepada Johor dan Tan Sri Elyas Omar adalah antara hadirin yang hadir pada malam tersebut di Stadium Merdeka.

“Saya mungkin akan membuat penampilan di stadium sebelum sepak mula, meninggalkan perlawanan selepas perlawanan bermula dan kembali ke stadium selepas perlawanan tamat,” ujar Tan Sri Elyas Omar sambil berseloroh mengenai perkara itu.

Penutup

Tan Sri Elyas Omar meninggal dunia 15 Mei 2018 akibat beberapa masalah kesihatan pada usia 81 tahun. Satu perkara yang pasti, Tan Sri Elyas Omar bukanlah ‘orang politik’ yang seperti digambarkan oleh kebanyakkan daripada kita pada hari ini.

“Tidak mungkin Malaysia melahirkan lagi seorang tokoh sukan seperti Allahyarham Tan Sri Elyas Omar,” demikianlah kenyataan daripada pengkritik sukan tanah akhir terkenal, Saudara Rizal Hashim.

Apa yang dikatakan oleh saudara Rizal Hashim ada benarnya. Allahyarham Tan Sri Elyas Omar bukan sahaja ikon bola sepak Kuala Lumpur dan negara, malah turut dianggap sebagai tokoh sukan tanah air yang telah memberi banyak sumbangan di pelbagai bidang dan lapangan sukan yang lain.

 

 

Kongsi artikel ini