Tan Cheng Hoe Sah Ketua Jurulatih Baharu Selangor FC

Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bakal kembali ke saingan Liga Malaysia sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi dilakukan oleh Selangor FC atau pun daripada pihak Tan Cheng Hoe sendiri, laporan daripada sebuah portal tempatan, Flash Sukan mendedahkan pasukan Red Giants telah berjaya mengikat jurulatih berusia 54 tahun itu.

Pengumuman mengenai perkara tersebut bagaimanapun dijangka akan dilakukan di dalam masa terdekat.

Perkhabaran terbaru ini bermakna pencarian Selangor FC untuk Ketua Jurulatih baharu kini berakhir setelah kelab itu melucutkan jawatan tersebut daripada pengendali Jerman, Michael Feichtenbeiner pada awal Ogos lalu.

Tan Cheng Hoe berkemungkinan akan terus mengambil alih pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia pada musim ini dengan fokus membentuk pasukan baharu untuk saingan musim hadapan.

Pengendali berasal dari Alor Setar itu pernah mengecapi beberapa kejayaan manis bersama pasukan Kedah termasuk Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.

Cheng Hoe kemudiannya mengambil alih skuad Harimau Malaya pada penghujung 2017, menggantikan jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada.

Pernah membawa skuad senior kebangsaan menjadi naib juara Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 serta dinobatkan Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.

Antara kejayaan lain yang pernah diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

Kegagalan bersama pasukan negara di kejohanan Piala AFF 2020 mengundang Cheng Hoe meletakkan jawatannya.

Kongsi artikel ini