Tan Cheng Hoe Bingung Safawi Dan Sumareh Bergaduh

Angin tiada , ribut pun tiada , tiba-tiba kem skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan satu insiden pergaduhan. Video insiden itu tular dalam media sosial di mana kelihatan Mohamodou Sumareh seperti berang dengan Safawi Rasid tanpa diketahui apa puncanya sewaktu makan tengahari di Manama , Bahrain pada hari semalam.

Pemain sayap JDT ini secara tiba-tiba cuba menerpa ke arah Sumareh. Namun para pemain lain dapat menghalang pergaduhan mereka berdua daripada menjadi lebih teruk lagi. Kebetulan ketua jurulatih Harimau Malaya menyaksikan insiden itu dan kelihatan kebingungan melihat situasi berkenaan.

Bagaimanapun , ia cuma adalah gimik yang telah dirancang terlebih dahulu oleh para pemain dan kakitangan kejurulatihan untuk membuat kejutan kepada Tan Cheng Hoe sempena hari kelahiran beliau yang ke 53 tahun yang jatuh pada 30 Mei semalam.

Mereka beramai-ramai menyanyikan lagu selamat hari jadi dan menghadiahkan sebuah kek kepada jurulatih yang pernah melatih skuad Kedah sebelum ini.

Situasi yang harmoni ini menunjukkan sifat positif yang ada di dalam diri pemain-pemain kebangsaan. Pasukan ini akan menghadapi baki tiga perlawanan bertemu dengan UAE pada 03 Jun , Vietnam 07 Jun dan Thailand pada 15 Jun.

Ketiga-tiga perlawanan terbabit akan mempunyai siaran langsung di kaca televisyen yang di bawa oleh RTM dan Astro Arena untuk penyokong Harimau Malaya di tanah air.

Semoga skuad Harimau Malaya memperolehi keputusan positif dalam perlawanan yang akan dihadapi nanti.

 

 

 

 

 

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email