“Takkan Mahu Salahkan Hujan Pula” – AFC Akan Senarai Hitam SNBJ

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak akan membenarkan sebarang penganjuran perlawanan di bawah badan itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada masa hadapan sekiranya situasi padang buruk di stadium itu tidak ditangani segera.

Dengan erti kata lain AFC akan menyenarai hitamkan penggunaan stadium tersebut pada masa hadapan yang juga bermakna penganjuran pertandingan atau kejohanan utama di peringkat Asia di negara ini akan menjadi sukar selepas ini.

Menurut laporan daripada Arena Metro, Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul telah meluahkan kekecewaan terhadap keadaan padang di SNBJ dan bagaimana pihak penganjur menangani situasi air bertakung di permukaan padang selepas dilanda hujan lebat beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan di antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu lalu.

“Kita terkejut tengok keadaan padang dan takkan mahu menyalahkan hujan pula. Tuan punya tempat itu perlu lebih bersedia dan di sini bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena uruskan perkara itu,” kata beliau kepada akhbar itu.

Untuk rekod, SNBJ adalah di bawah penyelenggaraan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Pada Sabtu lalu hujan lebat yang turun di sekitar ibu kota menyebabkan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada di dalam keadaan kurang baik.

Beberapa rakaman foto yang berlegar di media sosial selepas itu jelas menampilkan keadaan air bertakung hampir di seluruh kawasan padang permainan.

Anehnya selepas itu kelihatan beberapa orang kakitangan stadium menggunakan penyodok untuk mengalirkan air yang bertakung.

Beberapa kakitangan lain seperti menggunakan kepingan kadbod atau papan lapis untuk menyapu keluar air yang bertakung. Nampak terdesak dan tidak profesional.

Seperti biasa setiap kali ada kejadian memalukan berlaku, tuding menuding mulai berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM , Mohd Faidz Sanusi berkata, PSM sudah mencadangkan supaya perlawanan pada malam tadi dilewatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam namun pihak penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan sekali gus menyebabkan padang rosak.

Satu perkara yang pasti, kejadian terbaru melibatkan padang SNBJ ini sedikit sebanyak telah memalukan bola sepak negara.

Kongsi artikel ini