“Tak Perlu Guna Penyodok , Padang SNBJ Ada Sistem Pengaliran Air Tersendiri” – CEO PSM

Padang SBNJ menjadi seperti kolam takungan air selepas hujan lebat beberapa jam sebelum perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain menjadi perhatian penyokong yang berada di venue itu seawal petang semalam.

Pernah memenangi anugerah stadium terbaik di dunia pada tahun 2018 selepas diubah suai untuk menganjurkan Sukan SEA 2017 , stadium yang dibina dengan kos RM 800 juta itu tidak setanding dengan pengurusan teknikal oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sendiri.

Para petugas stadium terpaksa menolak air secara manual menggunakan penyodok dan kertas kadbod bagi memastikan permukaan padang dapat digunakan perlawanan berkenaan yang bermula pada jam 09.00 malam.

 

Malahan ketika jam menghampiri 8.40 malam petugas stadium masih lagi terus melakukan kerja-kerja berkenaan dan itu sudah cukup para penyokong dan pihak lain menuding jari ke arah PSM yang dilihat gagal menguruskan keadaan padang dengan baik termasuklah menyediakan kemudahan secukupnya bagi mengatasi keadaan cuaca hujan lebat.

Hal ini menimbulkan beberapa persoalan dalam ciapan Twitter milik @PiangShankly.

  1. Berapa harga Pitch Water Removal?
  2. Berapa harga Pitch Cover?
  3. Berapa elaun BOD PSM?
  4. Berapa gaji top managemen PSM?

Bagaimanapun menurut laporan berita oleh Arena Metro yang menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif PSM , Mohd Faidz Sanusi menjelaskan situasi berkenaan yang melihat penggunaan penyodok atau kertas kadbod untuk membuang air sepatutnya tidak digunakan penganjur kerana akan merosakkan padang berkenaan.

“Seperti sedia maklum, padang SNBJ mempunyai sistem pengaliran air yang tersendiri iaitu air akan keluar mengikut saluran yang sudah dibuat di bawah padang apabila hujan lebat.”

“Kami sudah nasihatkan kepada penganjur untuk tangguhkan perlawanan pada jam 9.30 untuk beri masa air di atas padang mengalir keluar namun mereka tetap meneruskan perlawanan malah menggunakan pula penyodok dan kadbod untuk membuang air.”

“Natijahnya, padang pula jadi rosak sekali gus banyak kerja perlu dilakukan bagi memastikan venue itu berada pada keadaan terbaik pada perlawanan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, PSM sudah mencadangkan supaya perlawanan pada malam tadi dilewatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam namun pihak penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan sekali gus menyebabkan padang rosak.

Kongsi artikel ini