‘Tackle Horor’ Pemain Bek Sevilla Tinggalkan Kesan Parut Pada Kaki Lionel Messi

Lionel Messi menderita dengan luka di bahagian kaki kanannya setelah diterjah keras oleh pemain pertahanan Sevilla, Diego Carlos.

Barcelona gagal meraih mata penuh ketika bertandang ke markas Sevilla untuk saingan La Liga pada Jumaat lalu.

Insiden Messi-Carlos

Perlawanan tersebut yang berakhir tanpa jaringan turut dihiasi dengan insiden membabitkan Carlos dan Messi pada babak pertama perlawanan.

Terdapat momen ketika Lionel Messi terlibat pertengkaran dengan Diego Carlos.

Messi dilihat bergelut mengawal amarahnya selepas diasak keras pemain itu di hadapan kotak penalti Sevilla.

Kapten Barcelona yang geram dengan tindakan Carlos kemudian menolak pemain tersebut dengan sengaja.

Carlos kemudiannya merespon dengan menjatuhkan diri ke atas padang sambil menekup mukanya.

Luka di kaki Messi

Ternyata terjahan yang dianggap kasar itu telah meninggalkan parut di kaki kanan Lionel Messi.

Hal tersebut terlihat ketika Lionel Messi sedang berlatih dengan skuad Barcelona pada Ahad (21/6/2020).

Ketika pemain itu menjalani latihan, jelas goresan bekas luka pada kaki kanan pemain tersebut.

Skuad Quique Setien bakal kembali beraksi dalam saingan La Liga pada hari Selasa (23/6/2020) dengan menghadapi Athletic Bilbao.

Ketika ini kedudukan Barcelona di puncak liga mulai digugat Real Madrid yang merekodkan kemenangan menentang Real Sociedad pada awal pagi tadi.

Real Madrid dan Barcelona kini sama-sama mengumpulkan 65 mata dari 30 perlawanan, tetapi skuad Zinedine Zidane unggul dalam pertemuan head-to-head.

Kongsi artikel ini