Syihan Hazmi Sah Tinggalkan Negeri Sembilan

Penjaga gol skuad kebangsaan Harimau Malaya, Syihan Hazmi sah tidak akan lagi bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim hadapan.

Perkara itu disahkan melalui satu kenyataan oleh NSFC sendiri melalui satu kenyataan di media sosial sebentar tadi.

“Negeri Sembilan FC ingin merakamkan penghargaan kepada penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi atas khidmat dan bakti beliau sepanjang bersama pasukan Negeri Sembilan FC,” ujar kenyataan tersebut ringkas.

Kontrak pemain itu bersama Negeri Sembilan baharu sahaja tamat pada 30 November lalu.

Sebelum ini spekulasi dan masa depan pemain itu antara yang paling mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan selepas prestasi cemerlang yang ditampilkannya sepanjang musim ini.

Khabar angin mengaitkan penjaga gol berusia 26 tahun itu bakal menyertai juara Liga Super Malaysia (MSL) sembilan kali berturut-turut, JDT untuk saingan musim hadapan.

Walaupun desas-desus perpindahan penjaga gol Harimau Malaya dan Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi ke pasukan JDT) masih menjadi tanda tanya, perkembangan terbaru ini nampaknya menguatkan lagi spekulasi tersebut.

JDT melalui kenyataan pemiliknya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini mengesahkan akan ada seorang pemain tempatan akan dibawa masuk untuk menguatkan pasukan bagi saingan musim hadapan.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada JDT dan Syihan sendiri mengenai hala tuju beliau selepas ini.

Sekiranya Syihan benar bakal menyertai JDT, maka beliau dilihat sebagai pengganti utama kepada Farizal Marlias untuk jersi No.1 skuad Harimau Selatan.

Kecemerlangan penjaga gol berusia 26 tahun itu sebelum ini turut menyebabkan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memberi kepercayaan kepada Syihan sebagai penjaga gawang utama pasukan negara sejak beberapa perlawanan lalu.

Syihan kini sedang sibuk bersama pasukan negara di kem latihan pusat khusus untuk persediaan mengadapi Piala AFF Mitsubishi Elektrik 2022 yang akan berlangsung bermula 20 Disember hadapan.

Kongsi artikel ini