Expand To Show Full Article
Syihan Hazmi Ganti Farizal, Ini Kesebelasan Utama Harimau Malaya Menentang Bangladesh - Grandstand Kita

Syihan Hazmi Ganti Farizal, Ini Kesebelasan Utama Harimau Malaya Menentang Bangladesh

Perlawnaan terakhir Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh pada malam ini dianggap sebagai antara perlawanan terpenting di dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Hanya selangkah lagi untuk menamatkan badi ke pusingan akhir Piala Asia secara merit sejak 42 tahun lalu, skuad kendalian Kim Pan-gon perlu mencatatkan keputusan positif untuk melayakkan diri ke kejohanan tersebut pada tahun hadapan.

Sebentar tadi kesebelasan utama pasukan negara telah dikeluarkan. Menurunkan kesebelasan terbaik untuk perlawanan ini, hanya satu perubahan besar dilihat paling ketara.

Selepas menurunkan Farizal Marlias di hadapan gawang untuk perlawanan menentang Turmenistan dan Bahrain tempoh hari, kali ini Kim Pan-gon memilih untuk menurunkan Syihan Hazmi sebagai penjaga gol utama.

Farizal dikatakan menjadi punca kepada gol kemenangan perlawanan sebelum ini menentang Bahrain, sekali gus menyebabkan skuad Harimau Malaya berputih mata untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan tersebut.

Tanggapan tersebut berlaku selepas kesilapan Farizal menjatuhkan pemain penyerang Bahrain di dalam kotak penalti, selepas gagal menepis keluar hantaran lintang pertama pihak lawan.

Syihan yang dianggap kurang pengalaman di pentas antarabangsa berbanding Farizal pula menampilkan aksi terpuji bersama Negeri Sembilan pada musim ini.

Turut mencuri tumpuan adalah Syafiq Ahmad yang dipilih untuk mengetuai jentera serangan, dan bukannya Darren Lok yang memulakan perlawanan di dalam kesebelasan utama sebelum ini.

Pemain sayap, Faisal Halim dan Arif Aiman turut kembali berada di dalam kesebelasan utama pasukan, selain Azam Azih dan Shahrul Saad yang turut berada di dalam kesebelasn utama selepas tidak memulakan perlawanan ketika kekalahan kepada Bahrain.

 

Kongsi artikel ini