Syihan Hazmi Bukti Kim Pan-gon Guna Statistik Pilih Penjaga Gol

Pemilihan Syihan Hazmi sebagai penjaga gol utama skuad Harimau Malaya, dan bukannya Farizal Marlias seperti ketika pusingan kelayakan Piala Asia pada Jun lalu adalah bukti Kim Pan-gon turut menggunakan statistik di dalam pemilihan untuk jersi No.1 negara untuk Kejohanan King’s Cup 2022.

Untuk Kejohanan King’s Cup yang berlangsung di Thailand, jurulatih dari Korea Selatan itu menyenaraikan tiga penjaga gol iaitu Syihan Hazmi, Kallamulah Al-Hafiz, dan Rahadiazli Rahalim.

Manakala Farizal yang selama ini pemilik jersi No.1 negara sekadar dinamakan sebagai pemain di dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan kepada senarai asal.

Bukan mahu menidakkan sumbangan Farizal bersama pasukan negara selama ini. Tetapi berdasarkan perbandingan prestasi semasa pada musim ini dan usia penjaga gol itu, sememangnya sudah tiba masanya untuk Pan-gon mencari nama baharu yang boleh dipertanggungjawabkan di posisi tersebut untuk tahun-tahun mendatang.

Syihan Hazmi terus menyerlah

Selepas menurunkan Syihan Hazmi untuk menggantikan Farizal Marlias di dalam perlawanan terakhir menentang Bangladesh di pusingan kelayakan Piala Asia pada Jun lalu, Pan-gon dilihat terus menyandarkan kepercayaan beliau terhadap penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Pada masa sama, Data Sukan, turut mengeluarkan data dan statistik separuh musim saingan Liga Super Malaysia melibatkan empat penjaga gol yang paling menyerlah pada ketika itu.

Di kalangan empat penjaga gol yang disenaraikan, data yang dimiliki oleh Syihan Hazmi adalah yang paling menyerlah.

Walaupun dibolosi tujuh gol menurut rekod data pada ketika itu, Syihan berhadapan jumlah percubaan yang lebih banyak iaiti sebanyak 37 kali.

Malah penjaga gol berusia 26 tahun itu turut memiliki purata menyelamat paling tinggi di kalangan empat penjaga gol tersebut dengan peratus menyelamat 81%.

Dan jika diamati, Syihan juga adalah penjaga gol paling konsisten dari Jun sehingga September ini.

Negeri Sembilan menjadi pasukan kedua paling kurang dibolosi apabila Syihan setakat ini hanya dibolosi 16 gol. Farizal juga turut menunjukkan pengalamannya masih diperlukan JDT apabila hanya bolos 10 kali sepanjang musim.

Namun harus perlu diingat, Farizal beraksi di dalam pasukan yang memiliki barisan pemain pertahanan yang jauh lebih baik sekiranya dibandingkan dengan Negeri Sembilan FC.

Statistik Syihan VS Thailand

Statistik Syihan di dalam perlawanan menentang Thailand pada malam tadi turut tidak mengecewakan. Sepanjang 90 minit perlawanan, beliau berjaya melakukan 4 aksi menyelamat – termasuk dua situasi satu lawan satu dengan penyerang pasukan lawan.

Setelah berjaya menafikan Suphanat Muenta di dalam situasi satu lawan satu, Syihan kemudian turut melakukan point blank save menyelamatkan tandukan pemain Thailand yang betul betul depan matanya.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa, tanpa Syihan, skuad Harimau Malaya mungkin menanggung nasib berbeza.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Atlead Pass ® (@atleadpass)

Tidak cukup dengan itu, Syihan turut muncul wira skuad Harimau Malaya apabila menyelamatkan sepakan penalti ketiga Thailand oleh Supachoh Saranchat untuk mengesahkan kemaraan pasukan negara ke King’s Cup 2022.

Sudah tentu kita sebagai penyokong bola sepak negara berharap prestasi Syihan ini akan terus ditingkatkan lagi. Kerana dia ternyata aset berharga dalam bola sepak Malaysia.

Kongsi artikel ini