Syazwan Zainon Ucap Selamat Tinggal Kepada Sang Kenari

Pemain veteran, Syazwan Zainon sah tidak akan bersama lagi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemain tersebut melalui satu kenyataan di akaun Instagram beliau sebentar tadi.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan memberi peluang kepada saya selama ini.

“Tak lupa juga barisan jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong setia hijau kuning.

“Mungkin bukan rezeki tahun ini untuk kita melangkah lebih jauh.

“Mohon maaf jika saya ada tersalah silap selama berkhidmat bersama @kedahdarulamanfc,” tulis beliau ringkas.

Syazwan Zainon, atau turut dikenali sebagai Wan Karpet di kalangan peminat bola sepak tempatan adalah antara pemain paling senior di dalam skuad kendalian Aidil Sharin pada musim lalu.

Pernah beraksi bersama Felda United dan Johor FC, Syazwan mulau beraksi bersama Kedah sejak era jurulatih Yugoslavia, Marijo Tot melatih pasukan itu pada 2013.

Syazwan kemudiannya menjadi antara pemain utama skuad Hijau Kuning pada era Tan Cheng Hoe dan membantu pasukan itu muncul juara Liga Premier pada 2015 dan mempromosikan Kedah kembali ke Liga Super pada musim berikutnya.

Selain daripada kejayaan di Liga Premier, Syazwan turut membantu Kedah muncul juara Piala Malaysia pada musim 2016, dan juara Piala FA pada musim 2017.

Syazwan kemudian sempat berhijrah menyertai Selangor selama dua musim pada 2019 sehingga 2020, sebelum kembali ke Kedah pada musim 2021.

Walaupun meninggalkan Kedah, tidak dapat dipastikan hala tuju pemain sayap berusia 33 tahun itu selepas ini.

 

Kongsi artikel ini