Expand To Show Full Article
Syahmi Safari Akui Pernah Dirisik Kelab Dari Sweden - Grandstand Kita

Syahmi Safari Akui Pernah Dirisik Kelab Dari Sweden

Bek kanan pasukan negara dan Selangor, Syahmi Safari mengakui dirinya pernah dirisik oleh tiga kelab eropah, namun menolak tawaran tersebut kerana enggan mengambil risiko sekadar menjadi pemanas bangku pemain simpanan

“Sejujurnya memang benar saya pernah dirisik dua atau tiga kelab luar, tapi tak pergi sebab kalau setakat duduk bangku simpanan baik kekal dalam Liga Malaysia,” ujar beliau seperti yang dilaporkan oleh Arena Metro pada hari ini.

Syahmi Safari adalah salah seorang daripada lima pemain yang dinamakan sebuah agensi dan ejen tempatan yang pernah menerima tawaran dari kelab eropah baru-baru ini.

Empat lagi nama yang disebut adalah Irfan Zakaria, selain daripada tiga tonggak utama JDT iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syameer Kutty Abba.

Namun melalui satu kenyataan semalam, Alistair Edwards selaku Pengarah Teknikal juara enam kali berturut-turut Liga Super, JDT menafikan perkara tersebut kerana tidak pernah dihubungi mana-mana ejen mahupun oleh kelab yang berminat untuk pemain yang dinyatakan.

Pengakuan Syahmi

Pengakuan oleh Syahmi Safari ini memberi gambaran dan sisi berbeza mengenai cerita minat dari kelab eropah terhadap pemain negara.

Menurut Syahmi bukan soal gaji yang menyebabkan beliau menolak peluang untuk ke Eropah, tetapi lebih kepada kepuasan untuk beraksi dalam setiap perlawanan.

Terbaru, Syahmi mengakui menerima tawaran dari sebuah kelab di Sweden.

Mengakui ia adalah persekitaran bola sepak yang asing, antara perkara yang membuatkan Syahmi menolak peluang ke Eropah adalah kerana tidak mengetahui penanda aras yang dikehendaki oleh kelab-kelab ini.

“Tapi bukan rezeki saya sebab kita tak tahu benchmark (tanda aras) pemain dari Malaysia dipandang macam mana oleh mereka. Maksud saya, kalau kita terima dan kemudian mereka juga akan bawa pemain dari Afrika atau Eropah yang lain, jadi apa kedudukan kita dalam pasukan itu,” jelas Syahmi.

“Sebab kita pernah ada lagi pemain dari Malaysia main di Eropah. Jadi pandangan mereka pada kita biasa-biasa saja berbanding jika ada pemain dari Eropah yang lain.”

Mahu Luqman buka laluan

Namun ia bukan bermakna Syahmi telah menutup peluang untuk dirinya beraksi di luar negara pada masa hadapan.

Oleh kerana itu, beliau berharap Luqman Hakim yang akan beraksi bersama KV Kortrijk di Liga Belgium mampu menyerlah untuk membuka mata kelab-kelab eropah mengenai kemampuan sebenar pemain dari Malaysia.

“Terus terang siapa tak nak main di luar negara, saya memang nak jika ada peluang. Pengalaman dapat main di sana adalah impian saya dan juga mana-mana pemain sekalipun,” kata pemain pertahanan Selangor itu lagi.

 

Sumber: Harian Metro

Kongsi artikel ini