Sumpahan Jersi No.9 Chelsea Yang Menjadi Mimpi Buruk Kepada Penyerang Handalan Dunia

Jersi No.9 ibarat mimpi ngeri buat pemain yang pernah menyarung jersi tersebut di Chelsea. Seperti yang kita semua tahu, jersi N0.9 kebiasaannya disarung oleh pemain di posisi penyerang.

Apa tidaknya. Sejak era Premier League, sudah ramai pemain penyerang yang dianggap ‘world class’ tampil di kelab London itu dengan reputasi besar, tetapi melalui karier serba tidak menjadi.

Berikut adalah antara pemain yang pernah menyarung jersi No.9 di Chelsea, yang pada mulanya dianggap antara signing terbaik The Blues, tetapi kemudiannya melalui pengakhiran yang mendukacitakan.

Romelu Lukaku

Romelu Lukaku adalah mangsa terkini jersi No.9 Chelsea. Kepulangan Lukaku buat kali kedua ke Stamford Bridge nyata tidak membuahkan hasil.

Sangat jelas beliau tidak sesuai dengan taktikal dan sistem bola sepak yang dikehendaki oleh Thomas Tuchel.

Dua gol jaringannya di Piala Dunia Kelab membantu Chelsea muncul juara dunia. Selain itu, tidak banyak yang boleh dibicarakan mengenai sumbangan pemain ini.

Selepas hanya menjaringkan 6 gol selama semusim yang lalu, Lukaku akhirnya sah meninggalkan Chelsea secara pinjaman dan kembali ke Inter Milan.

Fernando Torres

Chelsea membayar 58.6 juta euro pada 2010 untuk membeli penyerang Sepanyol ini dari Liverpool.

Di Anfield, Torres dikenali sebagai mesin gol dan dilabel sebagai antara penyerang paling tajam pernah beraksi di Premier League.

Di sebalik reputasi hebat itu, Torres ibarat hilang sentuhan bersama The Blues.

Berjaya menjaringkan 45 gol dari 172 penampilan, Torres hanya menghasilkan ratio 0.26 gol di setiap perlawanan bersama Chelsea

Alvaro Morata

Selepas Torres, ianya giliran Alvaro Morata yang tiba dari Real Madrid dengan tanda harga 66 juta euro pada 2017.

Morata gagal menyerlah walaupun menjaringkan 11 gol pada musim pertamanya.

Selepas menampilkan prestasi tidak seperti diharapkan pada musim kedua, Chelsea menjual pemain itu kepada Atletico Madrid.

Gonzalo Higuain

Tiba di Stamford Bridge secara pinjaman dari Juventus pada Januari 2019, Higuain dengan beraninya menyarung jersi No.9 Chelsea yang terkenal dengan sumpahan penyerang-penyerang yang pernah memakainya sebelum itu.

Chelsea diberi pilihan untuk menandatangani pemain itu secara tetap dengan tanda harga €36 juta, atau menyambung sahaja tempoh pinjaman dan membayar separuh dari nilai tersebut.

Chelsea tidak memilih kedua-dua pilihan yang ditawarkan Juventus. Higuain hanya mampu menyumbang lima gol dari 14 penampilan di Premier League, dan Chelsea tidak perlu memberi penjelasan lain kepada Juventus.

Radamel Falcao

Selepas tempoh pinjaman yang tidak membuahkan hasil bersama Manchester United, Falcao diberi satu lagi peluang untuk membuktikan diri di Premier League bersama Chelsea pada musim 2015/16.

Namun demikian sekali lagi tempoh pinjaman tersebut sekali lagi gagal, dan ia bukan perkara mengejutkan Chelsea enggan menjadikan perpindahan Falcao sebagai tetap pada penghujung musim.

Dengan gaji setinggi £140,000 seminggu, Falcao memaksa Roman Abramovich membayar £800,000 untuk setiap percubaan yang dilakukannya dan £57,000 untuk setiap sentuhan pemain itu lakukan.

Sepanjang bersama Chelsea, Falcao hanya melakukan 12 penampilan dan menjaringkan 1 gol.

Mateja Kezman

Mateja Kezman adalah salah seorang penyerang terawal yang dibawa masuk oleh Jose Mourinho sebagai pengurus Chelsea.

Namun pemain ini jarang mendapat peluang untuk beraksi dan sentiasa berada di belakang kelibat Didier Drogba dan Eidur Gudjohnsen di bangku pemain simpanan.

Kezman hanya berjaya menghasilkan tujuh gol dari 40 penampilan sebelum meninggalkan Chelsea selepas hanya semusim bersama.

Franco Di Santo

Franco Di Santo menyertai Chelsea pada usia 18 tahun dan tidak pernah beraksi sebagai pemain kesebelasan utama untuk kelab itu.

Penyerang dari Argentina itu juga gagal menjaringkan sebarang gol melalui 16 penampilan yang dilakukannya dari bangku pemain simpanan.

Turut gagal menyerlah selepas dipinjamkan ke Blackburn, Di Santo kemudiannya dijual ke Wigan pada 2010 dengan nilai £2 juta.

Khalid Boulahrouz

Pemain paling aneh di dalam senarai ini mungkin adalah Khalid Boulahrouz. Merupakan seorang pemain pertahanan yang memilih untuk memakai jersi No.9, tampaknya sumpahan jersi No.9 Chelsea tidak terhad kepada pemain penyerang sahaja.

Beliau menyertai Chelsea pada 2006 pada era Jose Mourinho pada nilai  £8.5 juta daripada Hamburg.

Selepas bermula dengan baik dengan beberapa aksi mengkagumkan dalam beberapa perlawanan berprofil tinggi, nama pemain ini kemudiannya mula disisihkan.

Beberapa siri kecederaan juga tidak membantu. Pemain ini kemudiannya dipinjamkan ke Sevilla pada musim seterusnya, dan tidak beraksi untuk Chelsea lagi selepas itu.

Steve Sidwell

Steve Sidwell berusia 24 tahun sebelum diberikan jersi No.9 ketika menyertai Chelsea secara percuma pada musim panas 2007.

Pemain tengah itu hanya bertahan selama semusim di Stamford Bridge.

Sepanjang tempoh itu beliau sempat melakukan 25 penampilan di semua pertandingan dan menjaringkan hanya 1 gol untuk Chelsea.

Beliau kemudiannya dijual kepada Aston Villa dengan tanda harga £5 juta.

Kongsi artikel ini