SUKMA 2022: Kad Merah Punca Insiden Ligan Dalam Padang, Tetapi Kenapa Pengadil Seperti Tersengih?

Pulau Pinang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir acara bola sepak SUKMA 2022 selepas berjaya menewaskan  Wilayah Persekutuan 1-0 di dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium UiTM  pada malam tadi.

Kemenangan tersebut bermakna skuad kendalian bekas penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli akan berdepan Terengganu pada aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Pulau Pinang yang lebih mendominasi perlawanan memperolehi peluang seawal minit keempat, namun percubaan Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri menuju tepat ke dakapan penjaga gol Wilayah Persekutuan, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin.

Pulau Pinang terus mengancam gawang Wilayah Persekutuan menerusi beberapa percubaan sepanjang perlawanan sebelum gol yang dinantikan akhirnya tiba pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pemain Wilayah Persekutuan.

Danial kemudiannya dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti terbabit untuk gol tunggal perlawanan sekali gus membawa Pulau Pinang ke perlawanan akhir

Insiden pegawai kejar pengadil

Perlawanan tersebut bagaimanapun turut dicemari dengan insiden pada babak akhir perlawanan, apabila pemain Wilayah Persekutuan, Muhammad Iman Fakhrullah dilayangkan kad merah pada minit ke-88 kerana mengasari pemain Pulau Pinang.

Layangan kad merah tersebut membuatkan Wilayah Persekutuan semakin tertekan sehingga berlaku kekecohan di kalangan pemain kedua-dua pasukan.

Kejadian tersebut turut mengundang seorang individu dipercayai daripada kalangan jurulatih Wilayah Persektuan masuk ke dalam kawasan padang kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Di dalam situasi tersebut, pertikaman lidah dipercayai berlaku menyebabkan jurulatih Wilayah Persekutuan hilang pertimbangan dan bertindak mengejar pengadil sambil menghayun penumbuk.

Di dalam situasi tersebut, pengadil perlawanan, turut kelihatan seperti tersengih – mungkin geli hati dengan karenah pegawai itu – sebelum berlari menyelamatkan diri ke tempat duduk simpanan pasukan Pulau Pinang.

Insiden panas itu turut memaksa pasukan keselamatan campur tangan bagi menenangkan keadaan. Perlawanan terhenti kira-kira lima minit sebelum disambung semula.

Kongsi artikel ini