“Sukar Apabila Melihat Pasukan Kesayangan Tampil Buruk” – Dickson Nwakaeme Ada Mesej Untuk Penyokong Tok Gajah

Dickson Nwakaeme dianggap sebagai antara penyerang import terbaik pasukan Pahang pernah miliki.

Pemain import dari Nigeria ini mula mewarnai kancah saingan saingan Liga Malaysia apabila menyertai Kelantan pada musim 2013.

Berhijrah ke Pahang selepas itu, Dickson digelar ‘orang besi’ kerana fizikal yang dimilikinya, dan pemain penyerang ini membantu skuad Tok Gajah muncul juara berganda pada musim 2014, membantu pasukan itu muncul juara Piala FA dan Piala Malaysia.

Sejak daripada itu, Dickson terus menjadi pemain kesayangan penyokong setia skuad Tok Gajah. Beliau bagaimana pun telah mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional pada tahun lalu pada usia 35 tahun.

Dickson Nwakaeme simpati nasib Pahang

Selepas beberapa musim bersama Pahang sebelum ini, maka tidak hairanlah perkembangan semasa pasukan itu sentiasa diikuti oleh Dickson Nwakaeme.

Prestasi terkini pasukan itu yang dianggap merudum pada musim ini turut tidak lari daripada perhatian bekas penyerang  Angers SCO dan Kelantan itu.

Melalui muat naik terkini di Instagram, Nwakaeme sempat berkongsi salah satu klip video jaringannya ketika masih bersama Pahang yang disertakan mesej untuk penyokong.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by DN10🇳🇬 (@dicksonnwakaeme)

“Ini adalah untuk penyokong pasukan Sri Pahang. Sata tahu ia sukar untuk anda semua sekarang. Sukar apabila melihat pasukan kesayangan tampil buruk.

“Bola sepak ini seperti kehidupan. Ada turun dan naik. Maka jangan menyerah kerana segalanya tidak seperti yang diharapkan pada ketika ini. Teruskan memberi sokongan kepada pasukan. Hogoh Pahang Hogoh,” kata beliau.

Dickson sebelum ini beraksi di Ligue 1 Perancis bersama kelab Angers SCO selama setahun kemudian kembali semula menyertai Tok Gajah.

Pahang merupakan pasukan terakhir yang diwakili olehnya dan beliau kini beralih pada bidang kejurulatihan serta mempunyai akademi bola sepak sendiri.

Sri Pahang dalam bahaya

Kekalahan 2-1 kepada Terengganu FC di saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada hujung minggu lalu adalah kekalahan ketiga berturut-turut skuad Tok Gajah pada musim ini.

Secara keseluruhan pasukan itu sudah beraksi 11 perlawanan pada musim ini. Dan setakat ini, skuad kendalian jurulatih dari Perancis itu hanya merekodkan 2 kemenangan, 2 seri dan tewas baki 7 perlawanan lain.

Prestasi kurang memberangsangkan skuad Tok Gajah pada musim ini menyebabkan pasukan itu kini berada di zon penyingkiran, menduduki tangga ke-11 MSL dengan kutipan keseluruhan 8 mata.

Kongsi artikel ini