Media Itali, Corriere dello Sport mendakwa badan penyiasat daripada Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) kini mahu Juventus dipotong sekurang-kurangnya 20 mata kerana kontroversi pembayaran gaji pemain ketika pandamik.
Kelab Turin itu sebelum ini telah dihukum dengan pemotongan 15 mata kerana memalsukan akaun perpindahan pemain bagi meningkatkan kewangan kelab – keputusan yang kini sedang berada di peringkat rayuan.
Sebelum ini ramai yang melihat hukuman terbesar yang bakal diterima Juventus adalah kerana kesalahan yang dianggap sebagai ‘penstukturan semula pembayaran gaji’, dan kini mimpi ngeri terbesar itu semakin hampir berlaku.
Menurut Corriere dello Sport, FIGC akan mencadangkan hukuman pemotongan 20 mata apabila Juventus didakwa atas kesalahan tersebut yang dimana pendakwaan dijangka akan bermula seawal Mac akan datang.
🚨| FIGC prosecutors will ask to dock Juventus at least 20 Serie A points over the highly-controversial payment of wages during the pandemic.
🔹 Juventus were already penalized by 15 points for artificially inflating transfer fees to boost capital gains.
[Corriere dello Sport] pic.twitter.com/AodNG7FtoS— Football Talk (@FootballTalkHQ) February 2, 2023
Sebelum ini Juventus pernah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menyatakan pemain telah bersetuju untuk menerima pemotongan gaji selama empat bulan untuk membantu keadaan kewangan kelab yang meruncing ketika pandemik.
Namun siasatan lanjut dengan bukti daripada rakaman panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp mengesahkan pemain-pemain termasuk Matthijs de Ligt dan mattia de Sciglio bahawa persetujuan tersebut sebenarnya tidak pernah tercapai.
Malah fakta sebenarnya ialah pemain hanya bersetuju mengorbankan pembayaran sebulan gaji dan menerimanya kembali di dalam bentuk lain seperti bayaran bonus, dan hasil penajaan, yang bermaksud bayaran ‘di bawah meja’ – atas persetujuan bersama – dilakukan untuk menyeimbangkan pembayaran yang sepatutnya diterima pemain.
Ini termasuklah jumlah sebanyak €19.9 juta yang masih dan sedang dituntut oleh Cristiano Ronaldo daripada pihak kelab.
Tatkala situasi kelebihan kewangan oleh Juventus sukar dibuktikan kerana tiada kaedah tertentu untuk menetapkan nilai seseorang pemain di pasaran perpindahan – bukti kegagalan mematuhi kontrak pembayaran gaji pemain adalah lebih jelas.
Pemotongan 15 mata sebelum ini telah menyebabkan Juventus jatuh dari tangga ketiga ke tempat ke-10 liga dengan hanya 22 mata, 15 mata daripada empat teratas liga utama Itali itu.
Pengarah sukan Juve, Federico Cherubini juga digantung selama 16 bulan yang juga hukuman serius dengan Juve berkata mereka akan membuat rayuan kepada Jawatankuasa Olimpik Itali.
Bekas pemimpin kelab itu juga dikenakan penggantungan panjang oleh FIGC termasuk dua tahun terhadap bekas pengerusi, Andrea Agnelli dan bekas CEO, Maurizio Arrivabene serta 30 bulan kepada bekas pengarah sukan, Fabio Paratici, yang kini berada di Tottenham Hotspur.
Jika terlepas aksi utama di Eropah – dan kejohanan kelab paling kaya – ia akan menambah sengsara dalam akaun kelab yang rugi hampir 239 juta euro (RM1.11 bilion).