Stuart Wark Dedah Pemain Liga Malaysia Terpaksa Tukar Profesion Jadi Tentera Kerana Masalah Gaji

Pemain kacukan berdarah Scotland-Malaysia, Stuart Wark mendedahkan ada pemain tempatan di Liga Malaysia terpaksa menukar profesion, berhenti bermain bola sepak secara profesional dan memilih untuk menjadi tentera disebabkan masalah tunggakan gaji yang dialaminya.

Bekas pemain Sarawak United itu baru-baru ini berkongsi satu tangkap layar perbualan dipercayai menggunakan aplikasi Whats App dengan seorang individu tidak dinamakan.

Dalam perbualan tersebut, Stuart dimaklumkan seorang pemain mengambil keputusan untuk melupakan terus karier di dalam bola sepak kerana sudah bosan dengan isu tunggakan gaji yang tidak pernah selesai dihadapinya bersama pasukan.

Stuart yang turut berhadapan masalah gaji dengan beberapa pasukan sejak beraksi di Liga Malaysia termasuk pasukan terdahulu, Sarawak United turut berkongsi pandangannya mengenai masalah yang dianggap ‘barah’ di dalam industri bola sepak negara ini.

“Inilah realiti perit yang terpaksa dihadapi oleh pemain muda di Malaysia. [Mereka] terpaksa melalui tempoh berbulan lamanya tanpa gaji, janji palsu [daripada pengurusan kelab], dan keluarga yang turut perlu disara,” kongsi beliau.

“Mereka terpaksa melakukan pekerjaan lain sebagai jaminan dan memutuskan untuk berhenti dan melupakan impian bermain [bola sepak] secara profesional, atau terus memikirkan karier mereka di dalam sukan ini kerana [masalah] tiada pernah ada penyelesaian.

“Secara peribadi saya sendiri pernah mengalami masalah tunggakan gaji pada 2018, 2019, 2021 dan 2022…. dan pernah tidak dibayar sehingga 4 bulan.

“Ini bukan perkara baharu, dan sebenarnya sudah menjadi isu lama walaupun sebelum saya tiba di sini.

“Tetapi tiada perkara dilakukan [untuk penyelesaian]. Bagaimana kita mahu bidang sukan di Malaysia secara amnya untuk bertumbuh dan mampu bersaing dengan yang terbaik?

“Selepas itu kita sendiri tertanya-tanya, mengapakah kita sebagai sebuah negara sukan sukar untuk berjaya?”

Baru-baru ini Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) turut mendedahkan Melaka United kini berhutang sehingga mencecah RM2.3 juta, dan Sarawak United turut memiliki hutang sehingga RM400,000 melibatkan tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

Stuart Wark yang turut terpalit isu tunggakan gaji bersama Sarawak United pada musim lalu kini beraksi di Liga 2 Thailand, Kasertsart FC.

Kongsi artikel ini