“Stay Humble, Determine And Discipline” – TMJ Beri Nasihat Menyentuh Perasaan Kepada Arif Aiman

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dianggap sebagai salah seorang individu paling berpengaruh di dalam bola sepak Malaysia.

Di JDT pula, beliau dianggap sebagai seorang pemimpin yang begitu dihormati kerana menjaga kebajikan pemain dengan baik.

Maka tidak hairanlah mengapa TMJ menjadi individu yang begitu dihormati oleh barisan pemain.

 

Tidak terkecuali adalah Arif Aiman yang kini dianggap sebagai salah seorang pemain muda terbaik di dalam negara.

Pada usia 20 tahun, pemain ini kini sudah menjadi antara tonggak utama skuad Harimau Selatan dan pasukan negara. Malah dari hari ke hari, Arif menampilkan corak permainan semakin matang dan menjadi idola ramai anak muda kerana perwatakannya yang bersahaja dan pendiam.

Terbaru, Arif berjaya membantu JDT muncul juara Liga Super Malaysia (MSL) musim ini, selepas turut bergelar juara Piala FA pada awal September lalu.

Jelas sekali pilihan untuk meninggalkan AMD pada penghujung 2018 untuk menyertai JDT kini telah memberi pulangan yang berbaloi. Tetapi apa yang diraih oleh Arif bersama pasukan itu tidak datang bergolek begitu sahaja tanpa usaha keras daripada pemain itu sendiri.

Tidak ada siapa yang berkata dan memberi jaminan bahawa Arif Aiman akan berjaya saat beliau memilih untuk menyertai JDT. Namun walaupun pada usia muda sebegitu, beliau berani menyahut cabaran tersebut.

Kerja keras anak muda ini di JDT tidak dipandang sebelah mata oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan. Akhirnya pada 14 Mac 2020, Arif Aiman mencipta sejarah tampil sebagai pemain termuda yang pernah melakukan penampilan untuk skuad Harimau Selatan itu pada usia 17 tahun pada ketika itu.

Musim lalu turut menyaksikan musim yang cukup berhasil buat Arif apabila turut dinamakan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021.

Nasihat menyentuh hati TMJ

Walaupun bangga dengan perjalanan Arif Aiman setakat ini, TMJ sentiasa memastikan pemain mudanya itu sentiasa berpijak di bumi nyata.

Terbaru, pemilik JDT itu meninggalkan satu nasihat yang amat berguna di ruangan komen pemain sayap kanan itu.,

“Well done Arif. Stay humble, determine, and discipline.

“Kau muda dan perjalanan masih Jauh. Aku berdoa semoga ALLAH sentiasa berkati kau, dan kurniakan banyak lagi rezeki dan kejayaan. Jaga diri,” tulis TMJ ringkas.

Selepas berjaya menghasilkan dua jaringan untuk membantu JDT mengesahkan kejuaraan MSL pada musim ini, fokus Arif kini pasti terarah kepada saingan Piala Malaysia.

Arif kini kini juga pencipta bantuan gol terbanyak untuk JDT pada musim ini bersama-sama Corbing Ong, sebanyak 10 kali – menjadikan beliau antara pemain paling menyerlah di dalam skuad Harimau Selatan pada musim ini.

Selain daripada pertandingan domestik, kelibat pemain ini turut mencuri perhatian di pentas AFC Champions League pada musim ini.

Pemain sayap JDT itumenjadi antara lima pemain yang mencipta peluang terbanyak di pertandingan AFC Champions League (ACL) pada musim ini.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh media sosial rasmi pertandingan elit kelab-kelab Asia itu, Arif telah menghasilkan 11 peluang pada musim ini.

Ini bermakna Arif berjaya menghasilkan purata 1.83 peluang daripada enam penampilan yang dilakukannya di pusingan peringkat kumpulan pertandingan tersebut setakat ini.

Arif Aiman sebelum ini memecah rekod JDT sendiri apabila tampil sebagai pemain termuda yang pernah melakukan penampilan bersama kelab itu di ACL pada musim lalu.

JDT berpeluang menyapu bersih semua trofi yang dipertandingkan pada musim ini setelah turut bergelar pemenang Piala Sumbangsih, Piala FA, dan Liga Super Malaysia.

Kongsi artikel ini