“Stay Away From Chinggey” – Arif Aiman Punca Safawi ‘Cabut’ Sertai Ratchaburi?

Safawi Rasid sah menyertai kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC dengan perpindahan secara pinjaman daripada JDT.

Pemain sayap penyerang itu dilaporkan akan menyertai kelab Thailand itu selepas tamat tugasan antarabangsa bersama pasukan negara di kejohanan Piala AFF Mitsubishi Elektrik yang berlangsung bermula 20 Disember sehingga 15 Januari hadapan.

Ini bermakna Safawi berkemungkinan besar akan berhadapan dengan seorang lagi pemain pinjaman daripada JDT, Liridon Krasniqi sekiranya beliau melakukan penampilan sebaik sahaja Liga Thai bersambung semula pada 21 Januari hadapan.

Ratchaburi yang kini berada di kedudukan ketiga di Liga 1 Thai akan berhadapan dengan Khonkaen United pada perlawanan seterusnya – sebaik Liga Thai bersambung setelah berehat sebulan bagi memberi laluan kepada pertandingan Piala AFF.

Enggan duduk bangku simpanan

Bercakap kepada Makan Bola baru-baru ini, Safawi menegaskan antara sebab beliau memilih untuk berhijrah adalah kerana enggan memanaskan bangku pemain simpanan di JDT, dan memilih untuk mendapatkan minit perlawanan sepatutnya.

“Umur saya dah 25 tahun, saya perlukan minit permainan.

“Saya dah tak boleh nak duduk bangku simpanan lagi,” jelasnya kepada MakanBola.

Pemain yang baru sahaja selesai mendirikan rumah tangga dengan pelakon, pengacara dan model, Syifa Melvin itu kini juga menegaskan fokus beliau kini adalah untuk membantu pasukan negara di kejohanan Piala AFF Mitsubishi Elektrik.

“Fokus saya kini adalah untuk membantu skuad kebangsaan.

“Saya nak buktikan sesuatu dalam kejohanan ini,” tambah beliau lagi.

TMJ beri respon

Laporan oleh Makan Bola membabitkan Safawi itu turut mendapat respon daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

“Ini semua salah pemain-pemain JDT especially Arif Aiman kerana beri lebih tumpuan kepada ‘prestasi’ dan ‘commitment’ dalam ‘padang’, daripada hal luar padang,” tulis TMJ.

Komen TMJ itu turut didatangkan dengan #stayawayfromcinggey. Tidak dapat dipastikan mengapakah hashtag tersebut diperlukan, atau adakah ia mempunyai perkaitan dengan perkahwinan Safawi dengan Syifa baru-baru ini.

Syifa sebelum ini pernah dituduh menjadi punca kemerosotan prestasi pemain yang pernah mendapat anugerah MVP pada 2018 dan 2019 iti.

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan kebangkitan Arif Aiman di posisi sama menjadi antara sebab mengapa Safawi semakin sukar mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama JDT sejak dua musim lalu.

Malah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan, Safawi terpaksa beraksi di posisi tengah. atau sebagai pemain No.10 dan bukannya di posisi penyerang sayap yang digemarinya untuk memberi laluan kepada Arif Aiman di posisi tersebut.

Kongsi artikel ini