Status Agama Isteri Kapten Hoki India Rakyat Malaysia Jadi Tanda Tanya

Beberapa hari yang lalu akhbar tempatan dan luar negara menyiarkan laporan perkahwinan Kapten Hoki skuad kebangsaan India, Manpreet Singh Pawar dengan seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Johor.

Disebabkan status sukan hoki di India, perkahwinan Manpreet sememangnya mendapat perhatian dan liputan besar media di India.

Wanita pilihan Manpreet pula dikenali sebagai Illi Najwa Saddique berusia 27 tahun, dan kedua-duanya mulai mengenali satu sama lain sejak 2012 sebelum bertunang pada 2014.

Pasangan tersebut sepatutnya berkahwin pada April lalu, namun disebabkan larangan rakyat Malaysia untuk terbang ke luar negara telah berkuatkuasa pada ketika itu, perkahwinan tersebut telah ditangguhkan.

Bagaimanapun kini timbul isu mengenai status agama Illi Najwa. Ia berikutan kedua-duanya diijabkabul dengan penuh adat resam Punjabi.

Majlis resepsi perkahwinan diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa kelihatan menawan dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Disebabkan perkara tersebut, pihak kerajaan yang membenarkan penerbangan Illi Najwa ke India akan memanggil wanita itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama mereka.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuki Shaary, perkara itu akan dilakukan sebaik sahaja Illi Najwa kembali ke Malaysia.

Pada masa yang sama Ahmad Marzuki mengesahkan sedang menunggu penjelasan dari Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berhubung status agama wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal yang diterima, wanita berkenaan masih seorang Muslim dan setakat ini tiada permohonan diterima untuk menukar agama,” kata beliau seperti dilaporkan oleh Berita Harian pada hari ini.

“Pada masa sama, kita juga tidak menerima permohonan daripada wanita berkenaan untuk berkahwin di luar negara.

“Menerusi pembacaan saya di media sosial, wanita berkenaan masih Islam dan lelaki itu dikatakan sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.

“Bagaimanapun, perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri,” katanya.

Menurut Marzuki apa yang memusykilkan imajlis resepsi yang diadakan itu bercanggah dengan ajaran Islam kerana terdapat unsur agama lain.

“Kita memahami kegusaran masyarakat berhubung perkara berkenaan kerana ia agak sensitif.

“Bagaimanapun, setakat ini kita bersangka baik dan mengandaikan wanita itu masih Islam,” katanya.

Kongsi artikel ini