Statistik Ini Buktikan Gomez-Van Dijk Gandingan Centre Back Terbaik Di Premier League

Liga Perdana Inggeris membuktikan pasukan yang mempunyai gandingan mantap di bahagian pertahanan tengah lebih berpeluang untuk menyerlah dan mencabar kejuaraan.

Buktinya, gandingan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic (Manchester United); Tony Adams dan Steve Bould (Arsenal).

Begitu juga gandingan Vincent Kompany dan Joleon Lescott (Manchester City); serta John Terry dan Ricardo Carvalho (Chelsea) – semuanya pernah mendominasi kejuaraan bersama kelab masing-masing.

Ia bukannya satu kebetulan juga untuk Liverpool menunjukkan prestasi menakjubkan di carta Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Liverpool memiliki dua pemain utama di bahagian tengah pertahanan untuk diturunkan beraksi pada musim ini.

Selain daripada Virgil van Dijk, Liverpool turut memiliki Joel Matip dan juga Joe Gomez untk beraksi di posisi tersebut.

Tatkala Van Dijk dilihat sebagai pilihan pertama yang akan berada di dalam senarai kesebelasan utama skuad Jurgen Klopp pada setiap perlawanan, Matip dan Gomez pula perlu bersaing sesama sendiri.

Menariknya gandingan Van Dijk dan Gomez dilihat lebih menjadi pada musim ini. Dalam 10 perlawanan terakhir dimana kedua-dua pemain digandingkan pada musim ini, Liverpool hanya dibolosi sekali.

Ia adalah bersamaan dengan 1,246 minit perlawanan. Satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol menewaskan Gomez dan Van Dijk adalah pemain Wolves, Raul Jimenez.

Lebih menarik sepanjang tempoh tersebut juga, Van Dijk dan Gomez turut membantu Liverpool menewaskan Shefield United, Manchester United, Tottenham Hotspur, Leicester City, Southampton dan Wolves.

Liverpool kini mempunyai kelebihan 25 mata ke atas pasukan tempat kedua Manchester City selepas mengesahkan tiga lagi mata penuh selepas kemenangan ke atas Norwich pada Sabtu lalu.

Malah Liverpool masih berada di landasan untuk memenangi treble dan mencatat rekod tanpa kalah sepanjang musim ini.

Ia pasti sesuatu yang menarik untuk melihat gandingan Van Dijk dan Gomez terus mekar di EPL dan Eropah melangkaui musim ini.

Kongsi artikel ini