Statistik Buruk Dan Peraturan Baharu FIFA Punca Khon Kaen ‘Senyap-Senyap’ Pulangkan Liridon Krasniqi Ke JDT?

Tiada angin dan tiada ribut. Tiba-tiba peminat dan pemerhati bola sepak Malaysia dikejutkan dengan ketiadaan Liridon Krasniqi di dalam skuad Khon Kaen United FC untuk mengharungi baki separuh musim kedua Liga 1 Thailand.

Perkhabaran Liridon digugurkan daripada skuad Khon Kaen United hanya diketahui selepas kelab itu mengumumkan senarai baharu skuad sedia ada bersama nombor jersi pemain-pemain selepas turut membawa masuk beberapa muka baharu ke dalam pasukan.

Semakan kami mendapati kontral Liridon bersama Khon Kaen telah tamat pada 31 Disember lalu.

Ini membuatkan segelintir peminat bola sepak tanah air berasa dukacita kerana sudah berharap untuk menyaksikan pertembungan di antara Liridon (Khon Kaen United) dengan pasukan yang diwakili Safawi Rasid, Ratchaburi FC.

Liridon dipancing oleh Khon Kaen United pada awal Ogos tahun lalu, sebelum sepak mula Liga 1 Thai musim 2022/23.

Manakala Safawi baharu menyertai Ratchaburi FC pada jendela perpindahan Januari ini dan melakukan debut sebagai pemain gantian menentang Khon Kaen United.

Liridon pulang ke JDT?

Buat masa ini, andaian mengatakan Liridon telah dipulangkan ke kelab asalnya JDT, dan kontrak beliau secara pinjaman bersama Khon Kaen United telah tamat pada 31 Disember lalu.

Pemain itu bagaimanapun dipercayai belum bersama skuad JDT untuk pra musim dan dipercayai masih lagi berada di Eropah, atau pun di kampung halamannya di Kosovo.

Tidak dapat dipastikan ke manakah hala tuju Liridon selepas ini. Beliau yang dipercayai masih memiliki kontrak bersama JDT berkemungkinan besar akan terus dipinjamkan ke kelab luar negara, jika keadaan mengizinkan.

Tetapi harus diakui Liridon gagal memberikan impak positif di Liga Thai. Agak mengejutkan juga melihat kontrak beliau di Thailand hanya berdurasi 6 bulan. Atau adakah kontrak tersebut telah disingkatkan?

Statistik buruk Liridon

Sejak tiba di Thailand pada Ogos lalu, Liridon sebenarnya boleh beraksi dalam 15 perlawanan Liga Thai, meliputi aksi di saingan liga dan pertandingan domestik trofi yang lain.

Namun demikian Liridon terlepas aksi tiga perlawanan pertama liga menentang Bangkok Utd, Ratchaburi FC, dan Sukhotai FC kerana isu kecergasan.

 

Secara keseluruhan, Liridon hanya melakukan 6 penampilan sepanjang bersama Khon Kaen United selama hampir lima bulan lalu tanpa sebarang jaringan atau assit.

Daripada 6 penampilan tersebut, beliau hanya melakukan 3 penampilan sebagai pemain kesebelasan utama. Jumlah tersebut hanya merangkumi 358 minit aksi.

Membuatkan statistik ini bertambah buruk, Liridon gagal membantu Khon Kaen United untuk menang walaupun satu perlawanan pun, baik ketika saingan liga, atau pun pertandingan lain di Liga Thai.

Peraturan FIFA paksa Liridon pulang ke JDT?

Selain itu, peraturan baharu FIFA turut berkemungkinan menjadi penyebab Liridon terpaksa diambil pulang oleh JDT.

Badan bola sepak dunia itu kini mempunyai peraturan yang menghadkan kebenaran pemain keluar secara pinjaman dalam satu-satu jendela perpindahan.

Untuk jendela perpindahan kali ini, JDT telah meminjamkan Safawi Rasid dan Moussa Sidebe ke Ratchaburi FC.

Kelab yang berpengkalan di selatan tanah air itu juga masih mempunyai Jonathan Hererra yang dipinjamkan kepada Partonato di Argentina.

Ini tidak termasuk empat pemain tempatan iaitu Izham Tarmizi, Azrif Nasrulhaq, Shazwan Andik, (Sri Pahang FC), dan Daniel Ting (Sabah FC) yang juga keluar daripada JDT dengan status pinjaman.

Ini bermakna setakt ini, JDT memiliki 7 pemain yang dipinjamkan secara profesional ke kelab lain.

Bermula 1 Julai 2023 akan datang, FIFA telah menetapkan hanya maksima 7 pemain dipinjamkan keluar secara profesional ke kelab lain, dan jumlah tersebut akan dikurangkan kepada 6 pemain sahaja menjelang Julai 2024.

Berdasarkan perkembangan ini, ada kemungkinan juga Liridon terpaksa dibawa pulang ke JDT untuk memberi laluan pemain seperti Safawi dan pemain-pemain lain diberikan peluang membuktikan kemampuan diri bersama pasukan lain.

Kongsi artikel ini