Stadium Shah Alam Sah Akan Diroboh, Beri Laluan Kepada Projek KSSA

Stadium Shah Alam yang selama ini menjadi gelanggang utama skuad bola sepak Selangor sah akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Urusan MRCB, Mohd Imran Muhamad Salim ketika  sesi taklimat pembangunan KSSA pada hari ini.

Menurut Mohd Imran, melalui pembangunan semula oleh MRCB itu sebuah stadium baharu berkapasiti 35,000 tempat duduk akan dibina bersama-sama pusat komersial, masjid, taman permainan dan trek jogging untuk digunakan oleh orang ramai di tanah seluas 80 hektar itu.

“Seperti yang kita ketahui, stadium berkenaan dibina puluhan tahun dahulu untuk tujuan tertentu dan sekarang ini venue berkenaan dibina semula dengan memastikan ia dapat menangani masalah banjir yang kerap melanda di kawasan itu.

“Kita akan membina semula stadium supaya lebih efisien dengan kos penyelenggaraan minimum selain turut memastikan terdapat banyak kemudahan di kawasan berkenaan.

“Stadium perlu dirobohkan dan akan dibina baharu. Hanya rekabentuk atap saja dikekalkan manakala binaan lain adalah baharu,” jelas Mohd Imran.

Turut mengalami nasib yang sama sama adalah Stadium Tertutup Malawati yang akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada KSSA.

Kerja pengubahsuaian dan pembinaan baharu akan bermula awal tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Pada Julai lalu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mendedahkan stadium baharu yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah diinspirasikan oleh Johan Cryuff Arena, stadium milik kelab terkemuka Belanda, Ajax.

Kongsi artikel ini