Speedy Tigers Siap Sedia Hadapi 30 Perlawanan Kompetetif Sebelum Ke Piala Dunia Hoki India

Skuad Speedy Tigers telah kembali menjalani latihan selepas berehat panjang sebagai persediaan untuk menghadapi Piala Sultan Azlan Shah pada November di Ipoh dan Kejohanan Hoki Piala Negara-negara 2022 pada 28 November hingga 4 Disember.

Ketua jurulatih hoki negara A Arul Selvaraj berkata, dua kejohanan utama yang bakal ditempuh skuad kendaliannya selain mendapat undangan ke Sepanyol pada Disember untuk perlawanan persahabatan merupakan perancangannya mendapatkan 30 perlawanan kompetetif sebagai persiapan yang cukup rapi dalam Kejohanan Piala Dunia Hoki 2023 yang akan berlangsung di India tahun hadapan

“Kita cuba adakan lawatan atau persahabatan pada minggu ketiga dan keempat September dan Oktober, tapi kalau ada terlalu banyak perlawanan dalam tempoh singkat, kita akan pertimbangkan semula sebab perlawanan berkualiti tinggi penting untuk kita.

“Kita akan cari lawan ranking lebih tinggi, saya dah berhubung dengan Australia, Belgium dan Belanda, jadi kita nak main bersama pasukan macam ini dan ia sangat penting buat pasukan,” katanya

“Pemain saya baharu sahaja dapat dikumpulkan dalam latihan pada hari pertama dan mereka akan diberikan penekanan untuk meningkatkan ketahanan fizikal dengan jadual yang telah saya rancangkan bersama staf kejurulatihan iaitu ‘fasa fizikal dan ‘strength and conditioning’ pada bulan ini.”katanya kepada Harian Metro.

Arul Selvaraj juga memaklumkan bahawa setakat ini beliau tiada perancangan untuk menukar pemain dan terus mengekalkan pasukan yang sedia ada untuk beraksi di pentas berprestij di India kelak.

Skuad ‘Speedy Tigers’ menempah tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara di Piala Asia, Mei lalu dan ia merupakan kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia dan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada 1975

Kongsi artikel ini