Sorakan Ekor Harimau Di SNBJ Dianggap Sebagai Motivasi Untuk Diri Mereka Oleh Bangladesh

Skuad kebangsaan Bangladesh nyata tidak gentar dengan sorakan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya yang bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Malaysia akan berhadapan Bangladesh pada perlawanan terakhir saingan Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023 dan ia merupakan perlawanan wajib menang untuk skuad kebangsaan Kim Pan-gon dalam usaha merebut slot ke pusingan akhir pertandingan itu pada tahun hadapan.

Bangladesh yang tewas dua perlawanan dilalui setakat ini pula sudah tersingkir, tetapi pasukan itu bertekad memberikan semua sisa perjuangan yang tinggal demi maruah pasukan.

Seperti mana-mana pasukan yang bertandang ke SNBJ, kehadiran puluhan penyokong di stadium tersebut sentiasa menjadi perhatian lawan.

Bercakap di sidang media pada hari ini, kapten pasukan, Jamal Bhuyan bagaimanapun berkata beliau dan rakan sepasukan yang lain tidak gentar dengan kehadiran dan pemain ke-12 skuad Harimau Malaya itu.

Sebaliknya, Jamal bertanggapan sorakan padu penyokong tuan rumah hanya akan memberikan motivasi kepada diri dan rakan seperjuangan yang lain.

“Saya berpendapat ini juga merupakan satu motivasi untuk barisan pemain muda kami. Ia akan memberi mereka lebih tenaga. Kami juga tidak memahami bahasa Malaysia, jadi ia bukan masalah,” katanya.

Jamal juga berkata pasukan Bangladesh sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menyukarkan misi Malaysia dan sedar tekanan sebenarnya adalah kepada pasukan tuan rumah.

Kongsi artikel ini