Skuad Harimau Malaya Berlepas ke Dubai Dalam Misi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

Skuad Tan Cheng Hoe sedang dalam perjalanan ke Dubai apabila pasukannya berlepas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dengan sebuah pesawat khas untuk mereka sebentar tadi.

UAE akan menjadi medan ujian buat skuad Harimau Malaya menghabiskan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas setahun lebih tertangguh berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum berpenghujung lagi. Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dijadualkan berdepan dengan tuan rumah UAE pada 3 Jun sebelum menentang Vietnam pada (11 Jun) dan perlawanan terakhir dengan Thailand (15 Jun).

Skuad Harimau Malaya kini berada di posisi tangga kedua Kumpulan G dengan pungutan sembilan mata, dua mata di belakang pendahulu , Vietnam sementara Thailand di kedudukan ketiga selepas mengumpul lapan mata.

Video pemain skuad Harimau Malaya yang bersiap sedia memasuki balai pelepasan dikongsikan oleh saudara Nazrin Arif dan farq di platform Twitter mereka awal pagi ini.

Seramai 25 pemain yang telah mendapat kepercayaan ketua jurulatih , Tan Cheng Hoe menggalas tanggungjawab bagi misi layak ke Piala Asia 2023 termasuk dua pemain natrulisasi baru , Liridon Krasniqi dan Guilherma De Paula yang mendapat cap kebangsaan buat pertama kali dalam skuad kebangsaan.

Manakala tiga pemain yang berpengkalan di luar negara seperti Luqman Hakim , Dominic Tan dan Junior Eldstal dijangka menyertai pasukan kebangsaan dalam sehari dua lagi di Dubai.

Pemain-pemain akan menjalani latihan menyesuaikan diri di kompleks latihan bola sepak sebuah kelab bola sepak di sana sebelum menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Kuwait pada 23 Mei ini dan Bahrain pada 28 Mei.

Skuad Harimau Malaya juga mendapat suntikan semangat tambahan setelah menerima hadiah seutas jam tangan G-Shock edisi terhad bagi setiap pemain daripada syarikat jam ternama dari Jepun.

Ketua jurulatih ini yang tidak bersama dengan para pemainnya hampir 18 bulan cuma mempunyai masa 18 hari bagi mempersiapkan pasukan. Bagaimanapun beliau berkata waktu 18 hari sudah cukup baginya untuk mengatur perancangan yang rapi bagi menghadapi perlawanan penting berkenaan.

Pemain-pemain cukup cergas dan tiada yang mengalami kecederaan merupakan kelebihan yang ada dalam skuad Harimau Malaya dan ia sudah pasti Tan Cheng Hoe bersama pembantunya akan meneliti dan memilih kalangan pemain yang cukup bersedia.

 

Kongsi artikel ini