“Sisi Gelapnya Lebih Banyak Dan Itu Yang Membuatkan Industri Bola Sepak Negeri & Negara Rosak”- Sanusi

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempunyai impian untuk melihat bola sepak di negeri Kedah berubah sepenuhnya selari dengan perubahan masa.

Ini kerana bola sepak kini lebih daripada sekadar salah satu cabang sukan dan telah menjadi sebuah industri yang melibatkan ramai pihak.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Aidulfitri persatuan itu pada Selasa lalu.

“Bola sepak ini bukan lagi sukan untuk kesihatan tetapi ia telah berubah menjadi industri. Memang ada sisi positif dalam bola sepak ini tetapi sisi gelapnya lebih banyak dan itu yang membuatkan industri bola sepak negeri dan negara rosak,” kata Sanusi.

Melalui ucapannya, Sanusi turut menyatakan apakah yang dimaksudkannya mengenai sisi gelap di dalam bola sepak berdasarkan pengalamannya menerajui KFA sejak 2020.

“Saya tahu selok-belok dalam persatuan bola sepak. Ini tempat untuk orang membina pengaruh dan membawa lari duit.

“Jadi saya telah matikan, tutup semua ruang yang boleh ditembusi kerana ingin pastikan KFA bebas daripada perkara-perkara yang boleh menjatuhkan bola sepak negeri,” ujarnya lagi.

Sebelum ini Sanusi turut pernah mendedahkan terdapat perbuatan pecah amanah membabitkan tabung CAS Akhyar Rashid.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika itu telah membawa kes tersebut Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) setelah pelbagai usaha lain seakan tidak membuahkan hasil.

Menurut Sanusi individu yang bertanggungjawab dalam menguruskan perkara tersebut hanya memasukkan RM10,000 sahaja ke dalam akaun kelab, manakala bakinya telah dilesapkan.

“Ada seorang budak kata Sanusi kaki pembohong kaki kelentong. Budak ni masa jaga bola sepak tinggal hutang RM16 juta.

“Sembang apa?

“Pakai tin milo kutip (duit) kes Akhyar. Dapat RM50,000 tapi masuk (bank in) akaun RM10,000.

“Kita tak cerita lagi persatuan hoki,” persoal Sanusi lagi.

Sanusi juga berkata beliau masih tidak mendedahkan kisah tersebut secara terperinci.

Kongsi artikel ini