Sikap ‘Gedebe’ De Paula Antara Kualiti Yang Diperlukan Kim Pan-gon

Ramai yang mempersoalkan bagaimana Guilherme de Paula boleh tersenarai ke dalam skuad akhir 23 pemain yang membawa cabaran negara ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Ia memang aneh. Tanpa sebarang penampilan atau minit perlawanan sepanjang musim ini, De Paula sudah tentu belum lagi menjaringkan sebarang gol mahu pun melakukan sebarang assist.

Jadi bagaimana Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan pasukan negara yang juga memiliki pakar analisis menilai kemampuan pemain ini?

Ada beberapa perkara lain selain daripada data perlawanan yang mungkin menyebabkan jurulatih dari Korea Selatan itu untuk menyenaraikan De Paula.

Da Paula sentiasa bersemangat

Yang pertama adalah karakter De Paula. Jika diperhatikan beliau tidak henti-henti menerima kritikan peminat bola sepak tempatan sejak dipanggil menyarung jersi pasukan negara pada tahun lalu.

Beliau dianggap malas dan sukar melakukan pressing. Adakalanya peluang untuk menjaringkan gol dipersia-siakan begitu sahaja.

Namun di sebalik kritikan yang adakalanya bernada cacian, De Paula sebenarnya mempunyai satu sikap terpuji, iaitu tidak pernah berputus asa.

Beliau juga tidak pernah memberikan alasan setiap kali dipanggil oleh jurulatih untuk menyertai kem latihan pusat, dan mana-mana pertandingan – walaupun perlawanan persahabatan menentang Brunei sekali pun.

Sikap ‘gedebe’ De Paula

Penampilan De Paula dalam perlawanan menentang Turkmenistan pada malam tadi pula menampilkan sisi berbeza pemain itu.

Dimasukkan pada babak kedua perlawanan bersama Safiq Rahim, De Paula langsung tidak takut dengan cabaran pemain lawan yang mengawal pergerakan beliau.

Pada satu ketika, Turkmenistan kelihatan mula beraksi secara keras dan banyak menggunakan fizikal. Di sinilah peranan De Paula amat penting untuk menyeimbangkan lawan yang mahu beraksi secara fizikal.

Jika Junior Edstal digunakan oleh Kim Pan-gon di bahagian pertahanan, De Paula pula digunakan untuk beraksi secara fizikal di bahagian serangan.

Malah sikap ‘gedebe’ De Paula sejak dimasukkan sedikit sebanyak berjaya mengancam mental pemain Turkmenistan.

Anda boleh saksikan sendiri aksi individu De Paula melalui pautan You Tube yang dikongsi oleh seorang penonton.

Tiada pilihan lain

Rasanya tidak payahlah kita persoalkan lebih-lebih sebab Kim Pan-gon mahukan sangat De Paula berada di dalam skuad negara.

Jika diperjatikan, Kim Pan-gon sebenarnya tidak memiliki banyak pilihan penyerang. Darren Lok adalah pilihan automatik untuk jersi No.9 berdasarkan prestasi semasa pemain itu bersama PJ City FC.

Begitu juga Syafiq Ahmad. Namun demikian Syafiq sebenarnya lebih mirip kepada penyerang kedua atau No.10.

Dengan rata-rata pasukan Liga M menggunakan khidmat pemain import di posisi penyerang, De Paula boleh dianggap sebagai pilihan ketiga untuk posisi tersebut.

Maka pemilihan De Paula oleh Kim Pan-gon sebenarnya boleh dianggap logik.

 

Kongsi artikel ini