Siapa Sebenarnya Jadi Punca Kekalahan Harimau Malaya?

Apabila sebut mengenai pemain ke-12 , sudah pasti ianya tertumpu kepada penyokong bolasepak yang sanggup membuang masa , tenaga mahupun wang ringgit bagi memenuhkan stadium demi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Tidak kiralah ada penyokong yang dianggap sebagai ‘bangsa perlawanan akhir’ , yang sentiasa hadir ke stadium setiap kali perlawanan atau apa jua status sekalipun , merekalah yang memeriahkan suasana hingar-bingar dalam gelanggang dan lazimnya sorakan penyokong berpuluh ribu adalah untuk memberikan psikologi mental untuk melemahkan semangat kepada pemain lawan.

Namun ia seperti satu jenaka kelakar pula , apabila seseorang individu yang bertaraf seorang menteri di Malaysia memberikan kenyataan bahawa sorakan penyokong punca pemain hilang fokus.

Menteri Kementerian Belia dan Sukan , Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata penyokong menjerit bersorak nama De Paula sebagai pemain gantian mengakibatkan pemain lain hilang fokus ke atas perlawanan yang sedang dihadapi.

“Seingat saya sejurus jaringan pertama kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.

“Sorakan 63000 ribu penyokong sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus, sekali gus skuad kita terlepas daripada menjaringkan gol.

“Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100 peratus faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton menyumbang kepada larinya fokus pemain.” kata Faizal Azumu kepada Harian Metro .

Sebelum perlawanan Malaysia bertemu Bahrain kelmarin , Menteri KBS itu telah berjumpa dengan anak buah Kim Pan-gon bersama dengan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bagi memberikan kata-kata motivasi dan semangat kepada para pemain.

Bagaimanapun Malaysia tewas 1-2 kepada lawan gergasi Asia itu yang berpunca daripada penjaga gol , Farizal Marlias yang melakukan kesilapan tidak sepatutnya kepada pemain Bahrain sehingga pengadil memberikan sepakan penalti ketika permainan hanya tinggal 10 minit sahaja lagi.

Ahmad Faizal yang membela Farizal berkata, dalam permainan secara berpasukan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, justeru biarpun sedih atas kekalahan, jangan terlalu menyalahkan orang lain seperti diri sendiri terlalu sempurna.

“Pada saya sudah banyak jasa Farizal sebagai penjaga gol negara kepada kita apabila beliau dedikasikan hidup kepada sukan dan tentunya perlawanan itu, dan sudah tentu beliau tidak mahu gagal.

“Namun kesilapan sudah berlaku dan seharusnya kita lebih belajar, bukannya menuding jari hingga dapat merosakkan (reputasi) beliau sebagai atlet,” katanya.

Justeru Menteri KBS perlu bertanya kepada diri sendiri , apakah perjumpaan sebelum perlawanan itu sebenarnyalah punca kepada kekalahan Malaysia?

Kongsi artikel ini