Shahrul Dedah JDT Tak Pernah Tentukan Pemain Mana Sertai Skuad Harimau Malaya

Keputusan 12 pemain termasuk 11 daripada JDT untuk tidak menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan untuk kejohanan Piala AFF Mitsubishi Elektrik 2022 sedikit sebanyak telah mengundang pelbagai spekulasi.

Antara yang paling lantang dan tidak pernah padam, adalah adanya tangan ghaib yang menentukan siapakah pemain yang layak beraksi bersama pasukan negara.

Terdapat juga dakwaan JDT sengaja tidak membenarkan pemain yang berada di bawah kendalian pasukan itu untuk tidak menyertai skuad kendalian Kim Pan-gon kali ini kerana kejohanan tersebut tidak berlangsung ketika jendela perlawanan FIFA.

Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 jelas menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.

Membuatkan ramai terkilan, semua perlawanan Liga Malaysia juga sudah berakhir pada ketika itu. Jadi apakah alasan JDT menahan pemain untuk tidak mewakili pasukan negara?

Bukan arahan JDT

Baru-baru ini pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad yang juga merupakan salah seorang daripada 12 pemain yang meminta untuk dikecualikan daripada Piala AFF 2022 sempat berkongsi perkara ini kepada wartawan Harimau Malaya.

“Sebenarnya tidak. Tetapi itu terpulang kepada indvidu [pemain] masing-masing. Cumanya kita tengok pasukan Johor (JDT) paling banyak bermain,” jelas pemain pertahanan tengah itu.

“Ini lah keputusan yang dilakukan pemain, dan ia harus diterima di mana-mana pasukan pun.”

Walaupun tanpa 11 pemain daripada JDT, dua lagi pemain kelab itu, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah tetap mahu menyarung jersi pasukan negara di kejohanan dwi tahunan itu.

Turut mengambil langkah serupa adalah pemain tengah Sri Pahang FC, Azam Azih.

Dengan erti kata lain, keputusan untuk tidak menyertai pasukan negara di kejohanan Piala AFF 2022 bukan kerana pemain-pemain ini dihalang oleh pihak kelab.

Seperti yang dinyatakan melalui kenyataan oleh FAM sebelum ini, pemain-pemain ini terpaksa dilepaskan atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan

 

Kongsi artikel ini