Serie A: Presiden Lazio Tuntut Play-Off Dengan Juventus

Juventus hanya dipisahkan dengan satu mata berbanding Lazio untuk berada di kedudukan teratas Serie A Itali sebelum saingan ditangguhkan akibat penularan wabak pembunuh pada Mac lalu.

Perintah berkurung ketat di Itali bagaimanapun kini dilonggarkan sejak Isnin lalu, dan kini Serie A dikatakan sudah merangka pelan untuk saingan dimulakan kembali.

Belum ada keputusan bagaimana kempen 2019/20 akan disambung, dengan Juventus dan juga Lazio masing-masing masih mempunyai baki 12 perlawanan untuk dharungi.

Ia termasuklah pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Allianz yang pada asalnya ditetapkan pada 26 April.

Lazio merekodkan kemenangan 3-1 pada saingan liga pada Disember lalu, dan sekali lagi menewaskan Juventus dengan jumlah jaringan sama di pertandinga Supercoppa Italiana tiga minggu kemudian.

Presiden Lazio, Claudio Lotito bagaimanapun bersetuju satu perlawanan diadakan membabitkan kedua-dua pasukan untuk menentukan kejuaraan pada musim ini, jika ia perlu dilakukan.

Ini kerana Lazio telah menetapkan agar fokus diberikan kepada saingan liga berbanding saingan di Europa League.

Sekiranya saingan bersambung kembali juga, ia bermakna Lazio harus menempuh jadual perlawanan yang ketat untuk menghabiskan setiap saingan.

“Perlawanan pertama menentang Juventus, kami menang 3-1, dan kemudian di Supercoppa kami juga menang 3-1. Dan kami masih perlu bermain satu lagi perlawanan,” kata Lotito kepada La Repubblica.

“Untuk bercakap dengan adil, pasukan seperti Inter kini ketinggalan lapan mata di belakang, atau Atalanta ketinggalan 14 mata – sekarang beritahu saya jika mereka juga harus terlibat [untuk play-off].

“Ya, saya terima perlawanan play-off. Tetapi ia bukan masalah yang saya sengaja wujudkan. Menyambung semula saingan liga sama seperti menghukum kami.

” Kami membuat pilihan, kerana percaya kami tidak akan mampu bersaing di tiga pertandingan. Kami mengorbankan Europa League, mengambil kira semua faktor seperti masa dan perjalanan yang perlu diambil, [Europa League] adalah pertandingan yang paling sukar.

“Maka kami memilih untuk beraksi sekali seminggu tatkala yang lain beraksi dua kali. Jika liga dimulakan kembali kami akan beraksi dua kali seminggu dan hilang kelebihan itu.

“Saya berfikir untuk kebaikkan 20 kelab yang bertanding.”

 

Kongsi artikel ini