Sepakan Penalti ‘Cool’ Fernandes, Gol Pertama Ighalo, Fred Menyerlah & McTominay Kembali

Banyak perkara positif yang boleh diambil dari perlawanan menentang Club Bruges oleh Manchester United di pertandingan Liga Europa pada awal pagi tadi.

Lima kemenangan dari tujuh perlawanan terakhir, dan tiada kekalahan sepanjang Februari menjadikan mood positif di Old Trafford dan kalangan penyokongnya semakin mekar.

Odion Ighalo menjaringkan gol pertama buat Manchester United dalam penampilan penuh pertamanya.

Ia diikuti oleh jaringan melalui sepakan penalti Bruno Fernandes – dengan teknik tenang yang sama ketika menyempurnakan penalti menentang Watford – selepas Simon Deli dilayangkan kad merah.

Tindakan pemain pertahanan itu juga tampak kelakar kerana mendahului Simon Mignolet dalam melayangkan badan untuk menepis percubaan oleh Daniel James.

Bruno yang menjadi fokal kepada setiap gerakan berbahaya United kemudian melakukan hantaran kepada Juan Mata yang selepas itu melakukan hantaran silang yang disempurnakan Ighalo dari jarak dekat.

Scott McTominay yang kembali buat pertama kali selepas kecederaan turut mencetak nama sebagai penjaring sebelum tamat babak perama.

Kemudian giliran Fred menjaringkan gol pada 10 minit terakhir perlawanan, untuk melengkapkan amukan United menentang kelab dari Belgium itu.

Kemenangan besar itu menyaksikan The Red Devils layak ke peringkat seterusnya dengan keputusan aggregat 6-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 ketika aksi pertama di Jan Breydel Stadium, minggu lalu.

Kongsi artikel ini