Semalam Dapat 6A SPM, Hari Ini ‘Usain Bolt Malaysia’ Pecah Rekod 100M Terbuka Perak

Ia minggu yang cukup indah buah atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Semalam pelari pecut yang turut digelar sebagai ‘Usain Bolt Malaysia’ itu mendapat khabar baik apabila berjaya memperolehi 6A di dalam keputusan SPM yang diambilnya pada tahun lalu.

Selang sehari selepas itu, Azeem memecah rekod 100 meter Terbuka Perak apabila merekodkan larian 10.40 saat untuk memenangi pingat emas untuk acara tersebut.

Atlet berusia 18 tahun itu melalui akaun Twitter semalam mengakui ianya tidak mudah untuk dirinya mencari keseimbangan untuk mengutamakan pendidikan dan juga sukan yang digemarinya.

“Saya memang tidak jangka langsung boleh dapat 6A. Saya hanya sasarkan 4A tetapi keputusan yang diperoleh hari ini memang di luar jangkaan.

“Sebab masa saya nak ambil SPM itu, dua kali saya terpaksa keluar sekolah untuk menyertai dua kejohanan di KL (Kuala Lumpur), Kejohanan Malaysia GP (Grand Prix) dan KL All Comers.

“Alhamdulillah sangat, hasil usaha keras saya selama ini, saya dapat keputusan yang cemerlang,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat itu,” ujar beliau kepada Berita Harian.

Ia pasti memerlukan pengorbanan yang tinggi demi memastikan pendidikan tidak terabai dan pada masa yang sama berjaya memenuhi impian untuk menjadi seorang atlet.

Bekas pelajar SMK Gunung Rapat di Ipoh, Perak ini adalah antara atlet yang boleh dijadikan contoh untuk atlet yang lebih muda.

Dua kejayaan terbaru yang dicapai oleh Azeem ini sekurang-kurangnya mampu memadam kekecewaan yang dialaminya di Sukan SEA yang berlangsung di Hanoi sebelum ini.

Di Hanoi, penyertaan Azeem pada saringan acara 100 meter dibatalkan oleh penganjur pertandingan sehingga pada mulanya mencetuskan kontroversi.

Insiden tersebut menyebabkan impian Malaysia meraih emas hatrik acara berkenaan tidak tercapai.

ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abd Jalil bagaimana pun mengesahkan bahawa penyertaan Azeem dalam acara itu memang sah dibatalkan.

“Selepas dijelaskan pengadil dan juga pengarah teknikal dengan bukti, memang menunjukkan Azeem keluar lebih awal kerana kakinya tidak menjejak blok permulaan itu sebelum ataupun ketika tembakan pistol pelepasan.

“Tidak ada kontroversi, segala bukti sudah ditunjukkan oleh pihak juri, pengarah teknikal, pengadil sudah menunjukkan bukti yang jelas kepada saya,” kelas Manshahar pada ketika itu.

Apa-apa pun Azeem pasti masih berpeluang untuk melakukan yang lebih baik pada masa hadapan.

Kongsi artikel ini