Semakin Cakna Kepentingan Data & Analisis, FAM Wujudkan Pasukan Prestasi Tinggi Bantu Harimau Malaya

Semakin cakna akan kepentingan data dan analisis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini mengumumkan penubuhan Pasukan Prestasi Tinggi khusus untuk membantu skuad Harimau Malaya.

Pasukan yang ditubuhkan itu berfungsi untuk menyusun keputusan-keputusan ujian, analisis perlawanan, laporan kecederaan dan sebagainya untuk digunakan sebagai perbandingan dan juga perancangan masa depan pasukan negara.

Diketuai oleh Reuben Jude Balraj, pasukan yang turut terdiri daripada ahli fisiologi, psikologi, dan pakar pemakanan itu akan bekerja bersama bariasan kejurulatihan baharu Harimau Malaya, dan akan melaporkan terus setiap maklumat kepada Kim Pan-gon.

Reuben bukanlah watak asing di dalam FAM kerana pernah memegang peranan selaku jurulatih kecergasan ketika era Dollah Salleh bergelar Ketua Jurulatih pasukan negara.

Reuben juga adalah watak penting bersama skuad B-23 negara di pusingan kelayakan Piala AFC di Mongolia di bawah kendalian Brad Maloney.

Beliau turut mempunyai pengalaman dan kelayakan yang diperlukan dan pernah bersama pasukan Kelantan dan JDT di saingan Liga Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell turut berkata Kim Pan-gon akan memegang peranan sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya dan bertanggungjawab menyelia setiap perkara berkaitan keperluan pasukan itu.

Pasukan Prestasi Tinggi ini adalah tambahan kepada barisan kejurulatihan sedia ada untuk membantu jurulatih daripada Korea Selatan itu membentuk sebuah skuad kebangsaan yang mantap pada tahun-tahun mendatang.

Langkah positif oleh FAM ini dilihat sebagai langkah pro aktif dalam memastikan pasukan negara mampu bersaing di dalam cabaran bola sepak moden pada hari ini.

Selain daripada itu, FAM juga mahu mewujudkan protokol berkaitan Kem Latihan Pusat Skuad Kebangsaan dan juga perlawanan-perlawanan persahabatan yang standard untuk kegunaan setiap lapisan pasukan negara selepas ini.

 

Kongsi artikel ini