Selangor FC Tidak Pernah Terima Bantuan Kewangan Daripada Kelab Lain

Selangor FC pada hari ini menafikan dakwaan pernah menerima bantuan kewangan daripada kelab lain.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon seperti yang dilaporkan Arena Metro pada hari ini.

Melalui laporan tersebut, Johan mengesahkan Selangor FC atau Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan daripada kelab lain sejak berada di bawah pentadbiran yang diketuai Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak 2018

Malah kekuatan kewangan kelab itu selama ini diraih melalui tajaan dan hasil keuntungan daripada aktiviti komersil yang giat dilakukan kelab.

Perkongsian oleh Dr. Johan itu timbul untuk menjawab soalan peminat dan penyokong selepas dakwaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pemilik JDT pernah membantu Selangor sebanyak dua kali dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu.

Dalam sidang media pada Sabtu lalu TMJ tidak menyatakan secara spesifik bilakah bantuan kepada Selangor diberikan.

Pasukan itu sememangnya pernah mengalami masalah pembayaran gaji sebelum era RMS mengambil alih tampuk pentadbiran pasukan itu.

“Dalam karier saya…Sebenarnya sudah banyak pasukan yang saya tolong tetapi, saya tidak dedahkan kepada media.

“Saya tolong Selangor sebanyak dua kali, Kelantan dua kali, Penang FC sekali dan Melaka United sekali. Semuanya berkaitan isu gaji. Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia pun saya bantu.

“Ramai yang tidak tahu, tetapi kini semua tahu. Kalau tidak percaya boleh tanya tuan punya badan,” kata TMJ sebelum ini.

Berdasarkan penafian oleh Dr. Johan, besar kemungkinan bantuan yang dimaksudkan oleh TMJ itu adalah sebelum era RMS.

Kongsi artikel ini