RASMI: Selangor FC Lucut Jawatan Ketua Jurulatih Michael Feichtenbeiner

Selangor FC akhirnya mengumumkan jurulatih dari Jerman, Michael Feichtenbeiner tidak lagi memegang peranan selaku Ketua Jurulatih pasukan itu pada musim ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Selangor FC melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Keputusan Selangor FC untuk melepaskan Feichtenbeiner sebenarnya tidak mengejutkan selepas prestasi kurang memberangsangkan pasukan The Red Giants di dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Bagaimanapun jurulatih dari Jerman itu akan kekal sebagai Pengarah Sukan Selangor FC yang disandang oleh beliau sejak 2020.

ย 

Perkara itu bagi membenarkan Feichtenbeiner meneruskan usaha pembangunan bola sepak bersama kelab itu.

Sehubungan dengan itu, Selangor FC akan mencari Ketua Jurulatih baharu yang akan diumumkan kemudian.

Tanpa Feichtenbeiner, skuad The Red Giants akan dibimbing sementara oleh Pembantu Jurulatih, Nidzam Jamil.

Nidzam dijangka akan mengemudi pasukan utama Selangor FC sehingga ke hujung musim saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Sepanjang musim ini, Feichtenbeiner hanya mampu membawa Selangor menduduki kedudukan ke-7 saingan Liga Super selepas mengharungi 13 perlawanan.

Prestasi tidak konsisten pasukan itu pada musim ini mengundang desakan daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada kalangan penyokong Selangor sendiri agar perubahan dilakukan segera.

Terbaru, langkah Selangor yang memburu slot ke Asia melalui pertandingan Piala FA turut terhenti selepas dikecewakan Terengganu FC di peringkat separuh akhir.

ย 

Kongsi artikel ini