Nama Karamjit Singh dan jenama kereta daripada Proton di persada rali tempatan dan dunia sememangnya sudah begitu sinonim.
Pemandu veteran itu sebelum ini pernah memandu beberapa model kereta nasional pertama negara itu di pelbagai kejohanan rali dunia dan tempatan.
Antaranya Iswara (1993-1994), Wira (1995-1999 dan 2006-2007), PERT (2000-2005). Satria Neo (2011-2015, dan Gen2 dari 2017 sehingga tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu beliau turut merangkul pelbagai kejuaraan Kejuaraan Rali Asia Pasifik pada 2002 dan 2004 dan pelbagai kejuaraan rali tempatan yang lain.
Namun hubungan pelumba berusia 60 tahun itu dengan Proton bakal berakhir apabila Karamjit dilaporkan akan beralih kepada Perodua dengan model MyVi menjadi pilihan.
Sebab MyVi jadi pilihan
Ada beberapa sebab mengapa kereta pilihan rakyat Malaysia, MyVi menjadi pilihan Karamjit selepas memutuskan untuk beralih daripada menggunakan jenama Proton.
“Lagi pun sekarang kereta rali di seluruh dunia sama ada di World Rally Championship (WRC) 1 atau 2 memang kecil macam saiz Myvi.
“Lagi senang untuk pandu dan beratnya juga kurang,” jelas Karamjit mengenai keputusannya itu.

Tetapi aspek teknikal bukan satu-satunya sebab mengapa beliau mulai beralih kepada Proton walaupun keseluruhan kariernya di dalam dunia rali memandu kereta daripada jenama Proton.
“Saya sebenarnya rasa sayang nak bertukar kerana saya peminat Proton sejak tahun 1988.
“Tapi apa boleh buat. Proton memang tak ada sokonganm jadi terpaksa tukar,” ujar beliau baru-baru ini di Majlis Penyampaian Trofi Kejohanan Rali Kebangsaan Malaysia semalam.
Guna Myvi mulai musim 2023
Ini bermakna Karamjit akan menggunakan jenama Myvi untuk perlumbaan yang akan disertainya bermula musim ini.
Karamjit dijangka akan mempertahankan gelaran juara kebangsaan yang dijadualkan Jun depan, selain turut menyertai Kejuaraan Rali Indonesia. Selain itu, Karamjit turut mensasarkan untuk menyertai Rali Asia Pasifik (APRC).
#BahasaMalaysia #BeritaTempatan Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini https://t.co/hC3Z4xM72t pic.twitter.com/ijEXUoSkIs
— Flyin18T Motorsports (@Flyin18T) January 15, 2023
Untuk berbuat demikian, beliau memerlukan sekitar RM500,000 sehingga RM800,000 untuk kos pengubahsuaian jentera baharunya.
Karmjit turut berkata beliau turut merancang agar jentera Myvi yang dipandunya diubahsuai menggunakan enjin 2.0 liter turbo, selain menjadikannya sebagai kenderaan pacuan empat roda untuk memenuhi spesifikasi perlumbaan.
Karamjit turut berharap usahanya mengetengahkan kereta jenama Perodua akan mendapat perhatian syarikat itu sekali gus memberi sokongan kepada usaha beliau memartabatkan sukan rali negara pada masa depan.